Oleh Jamilah Kamarudin
KUALA LUMPUR: Nasib lebih 1,500 pelajar baru Kolej Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kemasukan Mei sesi 2010/2011 untuk mendapatkan pinjaman kewangan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Pelajar Nasional Malaysia (PTPTN) dizalimi apabila permohonan mereka kini dibekukan.
Malah lebih malang lagi apabila tindakan PTPTN dibuat atas arahan Menteri Pengajian Tinggi, Khalid Nordin.
Ahli Parlimen PAS-Padang Terap Mohd Nasir Zakaria berkata, selaras dengan arahan daripada Menteri Pengajian Tinggi, pihak PTPTN melalui Pemangku Ketua Eksekutifnya, Wan Ahmad Wan Yusoff mengeluarkan satu surat tunjuk sebab kepada pihak pengurusan KUIS dan memaklumkan tindakannya untuk menahan permohonan pinjaman pelajar baru sehingga penjelasan yang memuaskan diperoleh.
Katanya, tindakan itu dipercayai rentetan daripada penglibatan seorang mahasiswa tahun tiga KUIS, Ahmad Shukri Kamarudin dalam kempen pilihanraya Hulu Selangor yang lepas berdasarkan maklumat daripada Pegawai Khas dari Kementerian Pengajian Tinggi kepada pihak PTPTN .
Tindakan zalim terhadap mahasiswa
"Tindakan ini merupakan satu bukti ugutan dan penganiayaan terhadap Institusi Pengajuan Tinggi Swasta (IPTS) dan kepada mahasiswa khususnya bahkan ia juga dilihat sebagai satu tindakan zalim terhadap mahasiswa.
"Tindakan Kementerian Pengajian Tinggi dan PTPTN itu juga semata-mata hanya disebabkan seorang mahasiswa KUIS yang didapati terlibat dalam kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor yang lepas tanpa mendapatkan penjelasan yang penuh daripada mahasiswa itu terlebih dahulu juga amat tidak wajar," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Berikutan itu, Nasir berjanji akan membawa perkara itu segera ke dalam Dewan Rakyat untuk dibahaskan.
"Isu besarnya kementerian kena buktikan kalau dia (Shukri) buat kesalahan, kenapa pelajar lain perlu tanggung? Kementerian kena jawab isu ini.
"Ini juga merupakan satu daripada beberapa tekanan daripada pihak kerajaan terhadap kebebasan mahasiswa sejak kebelakangan ini.
"Jika kerajaan bercakap mengenai Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk membangunkan modal insan, kenapa mereka sekat proses pembelajaran mahasiswa," katanya.
Shukri, pelajar Diploma Syariah, ditahan bersama empat pelajar jurusan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan aktivis lain pada 23 April lalu dalam sekatan jalan raya sekitar pukul 10 malam.
Shukri dilepaskan daripada sebarang tindakan oleh pihak KUIS, manakala empat pelajar UKM itu kini membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi bagi mencabar Seksyen 15(d)(A) Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang bercanggah dengan Artikel 10, Perlembagaan Negara mengenai hak kebebasan bersuara.

0 ulasan:
Catat Ulasan