PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong menyatakan kekesalan beliau terhadap kenyataan bersifat diskriminasi dan prejudis terhadap wanita yang menjadi mangsa politik kotor.
Beliau merujuk kepada kenyataan berbaur diskriminasi dan prejudis terhadap peribadi beliau oleh Datuk Seri Zahrain Hashim dan Wee Choo Keong, dua bekas ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (PRK) yang berpaling tadah di Parlimen semalam.
Dalam satu kenyataan media semalam, Wong berkata, "saya kesal perkara ini timbul kembali ketika saya berusaha membantu para pelajar cemerlang, tanpa mengira warna kulit, mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri untuk melanjutkan pelajaran."
Bagaimanapun, beliau tidak hairan kerja jahat ini datang dari Barisan Nasional yang sentiasa mengasak dan menceroboh kehidupan peribadi beliau.
Namun beliau telah bertekad untuk terus berkhidmat kepada para pengundi di kawasannya walaupun menerima ancaman dan asakan dalam usaha untuk menjatuhkan beliau.
Wong yang juga ahli exco kerajaan negeri Selangor menegaskan, "walaupun saya menghadapi masa yang sukar, saya terus berkhidmat untuk membuktikan dasar dan amalan politik Pakatan Rakyat ialah untuk membina kehidupan yang lebih baik.
"Dalam menghadapi isu yang timbul semula ini, saya bernasib baik kerana mendapat sokongan daripada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Oleh itu, saya menyeru supaya semua lapisan masyarakat menolak diskriminasi dan prejudis terhadap wanita-wanita yang menjadi mangsa," ujarnya.

0 ulasan:
Catat Ulasan