HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Julai 2010

Birokrasi punca bantuan mangsa banjir Kg Melayu Subang terabai


SELANGOR KINI

KOTA DAMANSARA– Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim kesal dengan karenah birokrasi beberapa agensi kerajaan menyebabkan 600 mangsa banjir di Kampung Melayu Subang terabai dan tidak mendapat bantuan sewajarnya.

Masalah ini sudah berlarutan lebih 3 bulan selepas kejadian itu berlaku. Katanya kerajaan negeri sepatutnya menyalurkan bantuan kecemasan ini dengan kadar segera berikutan kediaman penduduk terbabit terjejas teruk dan mereka turut terputus bekalan makanan dan minuman bersih.

Menurut Nasir kejadian banjir kilat luar biasa itu berlaku pada 24 April lalu dipercayai berpunca daripada limpahan air Sungai Damansara yang mengalir deras menenggelamkan kampung terbabit bermula jam 3 pagi.

“Harapan kami adalah sendiri melihat keluhan rakyat kerana mereka masih menunggu bantuan walaupun bukan dalam bentuk pampasan tetapi sebagai saguhati. Jadi yang menjadi masalah kepada kami adalah birokrasi yang terlalu tebal, kita panggil main serah-serah daripada Kerajaan Negeri kepada kewangan kepada JPS, kepada Pejabat Daerah balik kiri kanan akhirnya dah 3 bulan tidak dengar khabar,” katanya.

Oleh kerana perkara ini tidak mendapat perhatian kerajaan negeri, Nasir cuba membawa isu ini kepada Sidang Dewan Negeri Selangor yang berlangsung baru-baru ini supaya tindakan segera dapat diambil.

Namun sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang respon positif daripada kerajaan negeri.

Tiada ulasan: