Selasa, 10 Ogos 2010

Artikel hasutan: Perkasa mahu penulis dihumban ke dalam ISA


1 perkasa Oleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat laporan polis terhadap penulis pojok dan penganalisa politik tersohor Helen Ang berhubung artikelnya yang berunsur hasutan bertajuk "Menguatkuasa DEB Ke Atas Agama-Agama Minoriti".

Menurut Ketua Pemuda pertubuhan bukan kerajaan sayap kanan itu, Arman Azhar Abu Hanifah, artikel berkenaan, yang dimuatkan dalam laman web Pusat Dasar Inisiatif (CPI) pada 4 Ogos mengandungi kenyataan-kenyataan yang menghina Bumiputera, Islam dan Yang di-Pertuan Agong.

Malahan kata Arman, penulis itu mempertikai bacaan doa oleh para pelajar Islam di sekolah-sekolah, di tengah-tengah masyarakat berbilang kaum.

"Tapi ini tidak sepatutnya dipersoalkan kerana Islam adalah agama rasmi negara ini dan oleh sebab itu kita perlu menghormatinya.

"Ia tidak bermaksud bahawa jika membaca doa, kita memperlekeh kewujudan agama-agama lain. Membaca doa adalah sebahagian dari budaya orang-orang Islam," katanya.

Beliau berhujah lebih lanjut dengan menyatakan Ang telah "memperkecil-kecilkan Islam" dan menghasut supaya kaum-kaum lain membenci agama itu di negara ini.

"Kami fikir artikel itu boleh mencetuskan ketegangan kaum di negara ini dan juga mengancam keselamatan negara kerana ia bersifat menghasut.

"Kini kami mahu pihak berkuasa menggunakan Akta Hasutan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadapnya," kata Arman.

Sebahagian dari agenda politiknya?

Arman berikrar akan mendedahkan "kebenaran sebenar" di belakang Ang, yang didakwa mempunyai hubungan dengan blogger kontroversial Raja Petra Kamaruddin.

"Sumber saya memberitahu, beliau adalah "orang kepercayaan" Raja Petra dan turut ditaja oleh beliau. Sumber memberitahu bahawa beliau telah diperalatkan oleh Raja Petra," katanya.

Bagaimanapun beliau menafikan mempunyai bukti terperinci tentang Ang tetapi menekankan bahawa ini adalah sebahagian dari gerakan Raja Petra yang dibiayai.

"Jika saya memperolehi bukti lanjut, saya akan membuat laporan. Ini merupakan sebahagian dari agenda politik beliau iaitu untuk mencetuskan ketegangan sesama rakyat Malaysia," katanya.

Dalam tulisannya, Ang menggambarkan bagaimana bukan Melayu menjadi mangsa Dasar Ekonomi Baru, yang berperanan untuk meningkatkan ekonomi Bumiputera.

Ini termasuk "layanan buruk" terhadap para pelajar bukan Melayu di sekolah-sekolah dan bagaimana mereka dinafikan hak mereka untuk mempertahankan agama mereka dan bercanggah dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

0 ulasan: