Rabu, 11 Ogos 2010

ESQ akur keputusan mahkamah sivil, kaji tindakan susulan


KUALA LUMPUR — ESQ Leadership Center Sdn Bhd akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang semalam menolak permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan mengharamkan program motivasinya.

“Kita menerima serta menghormati keputusan mahkamah.

“Malah kami akan ikut prosedur serta proses yang sepatutnya selepas ini,” kata Pengurus Besar ESQ cawangan Malaysia Marhaini Yusoff kepada The Malaysian Insider menerusi khidmat pesanan ringkat (SMS).

Beliau berkata, satu perbincangan dalaman bersama pihak pengurusan syarikat itu akan diadakan bagi membincangkan tindakan susulan mengenai perkara itu.

“Setakat ini kami masih belum berbincang mengenai tindakan susulan selepas mahkamah menolak permohonan kami semalam.

“Apa-apa pun kami akan bincang segera dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan nanti,” katanya.

Semalam Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman ESQ bagi membatalkan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan atas alasan Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa dalam mendengar kes-kes berkaitan fatwa dan syariah.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi dan Kuasa-kuasa Khas Datuk Zawawi Salleh selepas mendengar hujah daripada kesemua pihak hari ini.

Kata beliau, Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa dalam mendengar kes-kes berkaitan fatwa dan syariah, maka dengan ini permohonan semakan kehakiman untuk mencabar kaedah yang digunakan Mufti Wilayah Persekutuan dalam penerbitan fatwa ditolak.

“Ini adalah kali pertama fatwa ini dicabar dan hal-hal berkaitan fatwa dan pertikaiannya adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Lagipun hakim Mahkamah Sivil tidak terlatih dan tidak berpengalaman dalam hal-hal syariah, jadi ia sepatutnya dibuat di Mahkaham Syariah bukan Mahkamah Sivil,” katanya ketika mengumumkan keputusan tersebut.

Pada 17 Jun lalu Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh telah mengeluarkan bahawa ajaran, pegangan serta fahaman yang dibawa ESQ di mana pengasasnya adalah warga Indonesia Dr Ary Ginanjar Agustian, dan apa-apa ajaran seumpama dengannya, adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi perkara yang boleh merosakkan akidah dan syariat Islam, selain meminta orang ramai menjauhinya.

0 ulasan: