FARDILLA DIN
KUALA LUMPUR - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) hari ini meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyiasat secara terbuka dakwaan terhadap pihak polis yang dilihat menyalah guna pasukan polis dan Light Strike Force (LSF) dalam program Vigil yang aman dan teratur pada 1 Ogos.
GMI yang diwakili oleh Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh semasa pertemuan dengan Pesuruhjaya SUHAKAM, Muhammad Shaani Abdullah menjelaskan pihaknya mengesa SUHAKAM menyiasat secara terbuka terhadap tindakan polis itu.
"Kami juga berharap memberikan tekanan kepada Kerajaan Malaysia untuk mengkaji kembali Kanun Keseksaan (Panel Code) dan Akta Polis 1967 dan mencadangkan kepada mereka agar membuang semua bahagian yang menghadkan kebebasan berhimpun dan bersuara.
Dalam pada itu, SUHAKAM juga akan meneruskan kerja pemantauan setiap perhimpunan aman, malah pada masa sama cuba menjadi orang tengah antara pihak penganjur dan pihak polis sebelum sebarang perhimpunan supaya boleh mengurangkan tekanan antara polis dan penganjur.
"Selain itu SUHAKAM perlu mengambil inisiatif untuk mengaktifkan Bahagian Human Right Defenders dalam badan tersebut dan melindungi semua aktivis dan pendokong Hak Asasi daripada menjadi mangsa keganasan,kekasaran dan intimidasi polis serta kerajaan," jelasnya.
Tambah Syeb Ibrahim lagi GMI telah pun mengumumkan program serentak pada 1 Ogos lalu sempena 50 tahun ISA kepada media.
"GMI telah memaklumkan tentang program ini kepada Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam Malaysia, Pusat Bantuan Guaman, SUHAKAM dan juga kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Tetapi malangnya semua tempat yang dirancang untuk diadakan program tersebut telah disekat oleh pihak polis walaupum kebanyakan tempat tersebut adalah tempat persendirian.
Tindakan menutup jalanraya dan tempat pertemuan adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan sekaligus melanggari hak asasi rakyat untuk berkumpul secara aman seperti termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
"Pada jam 8.00 malam 1 Ogos kebanyakan negeri telah menghadapi intimidasi yang tinggi daripada pihak polis. Namum pemenang sebenar pencabulan Hak Asasi pada hari tersebut adalah Ketua Polis (OCPD) Petaling Jaya, ASP Arjunaidi Mohamed, beliau telah menunjukkan sikap yang tidak profesional dalam menangani situasi pada hari tersebut”. Kata beliau lagi.
Pois tidak memberikan laluan kepada pihak penganjur untuk beredar secara aman, malah polis sebenarnya tidak tahu proses untuk menyuraikan para peserta dan menggunakan LSF walaupun Majlis Peguam Malaysia dan SUHAKAM berada di sana sebagai pemantau.
Dalam masa yang sama beliau menjelaskan antara kesalahan yang pihak polis lakukan adalah mengasari rakyat yang hadir serta dipukul termasuk dicederakan.
Seramai 39 orang ditangkap di seluruh negara tanpa sebab termasuk dua darinya di bawah umur. Insiden penangkapan ini berlaku di Pulau Pinang, Petaling Jaya dan Kelantan
Tambah beliau lagi, penahanan wartawan yang sedang bertugas di Kelantan bersama anaknya berumur 16 tahun adalah satu yang sukar diterima.
Respon daripada keterangan yang diberikan oleh Syed Ibrahim itu, Persuruhjaya SUHAKAM, Muhammad Shaani Abdullan menjelaskan sebelum perhimpunan tersebut pihaknya telah menghantar surat kepada Ketua Polis Selangor.
"Kita telah menghantar surat kepada Ketua Polis Selangor dan melalui jawapan yang kita terima mereka menegaskan bahawa tidak ada perhimpunan akan diadakan serta kepada sesiapa yang hadir termasuk SUHAKAM juga akan ditahan.
"Komunikasi antara saya dengan Ketua Polis Selangor itu hanya berlaku melalui sistem pesanan ringkas saja dan melihat dari apa yang saya terima pendirian pihak polis masih lagi tidak berubah dengan dasar lama mereka serta tidak mahu bertolak ansur.
"Tentang perkara yang dibangkitkan pada hari ini, pihak kami dari SUHAKAM akan membincang perkara tersebut dan kami sendiri mengalami kejadian itu kerana pada masa tersebut saya telah hadir sebagai pemerhati, melihat masa yang diberikan oleh pihak polis agar peserta bersurai memang tidak mencukupi dan menyifatkan ia melanggari hak asasi manusia.
"Saya akan usahakan sebaik mungkin dan bagi saya walaupun ISA ini tidak dapat dimansuhkan tetapi kita menyeru agar kerajaan tidak menggunakan akta tersebut. Sekali lagi saya jelaskan SUHAKAM akan turut serta setiap kali perhimpunan yang di adakan bagi mengetahui masalah sebenar yang berlaku secara tepat bukannya hanya mengikuti apa yang dijelaskan.
"Kepada sesiapa yang memerintah selepas ini jangan ulangi apa yang telah berlaku 50 tahun yang lepas, kita sebagai kerajaan perlu mengetahui hak asasi manusia yang sebenarnya jangan kita mencabuli hak tersebut," katanya.
Turut hadir semasa penyerahan memorandum aduan salahguna kuasa polis dan tuntutan satu penyiasatan terbuka terhadap polis itu adalah Setiausaha SUARAM, Naili Elumalai dan juga beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

0 ulasan:
Catat Ulasan