Jumaat, 13 Ogos 2010

Hukum restoran tidak hormati Ramadan

SINAR HARIAN

SHAH ALAM – Orang awam mahu pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemilik restoran beragama Islam yang didapati menjual makanan kepada pelanggan Islam dan beroperasi di luar waktu dibenarkan sepanjang Ramadan.

Pesara, Abdul Latif Abu Bakar, 60, berkata, restoran milik individu beragama Islam tidak wajar beroperasi pada waktu siang selain waktu yang ditetapkan.

“Walaupun mereka menjual makanan kepada orang bukan Islam hukumnya tetap haram dan berdosa. Lebih-lebih lagi jika restoran mereka dihiasi ayat-ayat suci al-Quran, jelas mencemarkan agama Islam.

“Perkara ini bertentangan dengan hukum agama dan tindakan sewajarnya perlu diambil untuk menghormati bulan yang mulia ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Kakitangan awam, Mohd Jefry Ahmad, 24, berkata, restoran Islam yang dibuka pada sejak awal pagi dikhuatiri mempengaruhi orang Islam untuk tidak berpuasa.

“Selain menghormati bulan Ramadan, mereka perlu mematuhi hukum yang jelas mengharamkan orang Islam berniaga makanan kepada orang bukan Islam pada bulan puasa,” katanya.

Sementara itu, eksekutif penyelidikan, Faridah Shahidin berkata, operasi restoran tidak sepatutnya bermula lebih awal kecuali menjelang petang untuk jualan juadah berbuka.

“Peniaga makanan perlu mematuhi jadual yang ditetapkan iaitu tidak beroperasi pada waktu yang tidak dibenarkan,” katanya.

0 ulasan: