BERNAMA
KUANTAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tindakan yang diambil pihak berkuasa berhubung saman ekor terhadap pesalah trafik tidak bercanggah dengan undang-undang.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan menerima banyak maklum balas berhubung perkara itu termasuk rungutan daripada orang ramai yang menganggap ia sesuatu yang membebankan.
Katanya, rungutan yang diterima termasuk masalah untuk memperbaharui cukai jalan dan ada juga yang disaman berkali-kali dengan jumlah kompaun agak besar sehingga membebankan mereka yang tidak berkemampuan.
Sehubungan itu, jelasnya, isu saman ekor dibincangkan hari ini pada mesyuarat jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
"Jawatankuasa membincangkan maklum balas yang diterima. Kita nak lihat apakah ianya betul-betul membebankan rakyat atau ada cara tertentu yang boleh kita fikirkan. Tapi dari segi undang-undang, ia tidak berbangkit," katanya selepas melancarkan Pelan Strategik Biodiversiti-Bioteknologi Pahang di sini, hari ini.
Pelbagai pihak sebelum ini membantah pelaksanaan saman ekor dan meminta kajian semula dijalankan terhadap keputusan kerajaan untuk tidak mengurangkan kadar kompaun saman yang dikenakan terhadap pesalah trafik.
Pada 9 Julai lalu, Ketua Trafik Persekutuan, Datuk Abdul Aziz Yusof, berkata pihaknya tidak merancang untuk mengkaji semula saman ekor berikutan rungutan orang ramai yang mendakwa tidak menerima notis saman.
Kelantan selesai isu tanah wat Siam di Tumpat
19 min yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan