Sabtu, 14 Ogos 2010

Mahasiswa berpolitik: Pemimpin muda PKR gesa dibentuk kokus

TERKINI

KUALA LUMPUR — Pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa diadakan kokus merentasi parti bagi memperjuangkan penglibatan mahasiswa dalam politik ekoran keputusan Kabinet didakwa mengekalkan larangan pelajar universiti aktif berpolitik.

Gesaan itu dibuat oleh sembilan wakil rakyat muda PKR hari ini.

“Sebelum ini kami menyambut baik bahawa ada rakan-rakan kami di dalam Barisan Nasional yang turut berkongsi keyakinan bahawa membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik dan proses politik bagi menggembleng potensi anak muda menyumbang kepada negara sepenuhnya.

“Usaha Timbalan Menteri Datuk Saifuddin Abdullah untuk menarik perhatian terhadap isu ini beserta tentangan daripada Khairy Jamaluddin terhadap pengumuman Kabinet tempoh hari menggambarkan kita boleh mewujudkan penyelesaian rentas parti terhadap isu ini,” kata mereka dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider semalam Saifuddin berkata beliau bersedia menerima jemputan untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak.

Kata mereka, memandangkan komitmen mereka, kami ingin menjemput Saifuddin untuk mempimpin kokus rentas parti dalam isu ini. Jika rakan-rakan kami daripada Barisan Nasional (BN) benar-benar ikhlas tentang masa depan generasi muda, peluangnya terbuka luas untuk mereka membuktikan keikhlasan mereka.

Wakil-wakil rakyat muda yang mengeluarkan kenyaan ini ialah Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen), Yusmadi Yusuf (Ahli Parlimen Balik Pulau), Yunus Jamhari (ADUN Kuala Kurau), Kesavan (ADUN Hutan Melintang), Nik Nazmi Ahmad (ADUN Seri Setia), Chan Ming Kai (ADUN Simpang Pulai), Chang Lih Kang (ADUN Teja), Sim Tze Tzin (ADUN Pantai Jerejak), Amiruddin Shari (ADUN Batu Caves) dan Gan Pei Nei (ADUN Rawang).

Kata mereka, pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin tentang keputusan Kabinet meneruskan sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam politik menggambarkan sebuah kerajaan yang ketinggalan dengan perubahan yang berlaku di persekitarannya.

“Tindakan kerajaan melayan tentangan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kuncu-kuncunya bermakna pentadbiran Datuk Seri Najib Razak lebih prihatin dengan pandangan lapuk berbanding keperluan mendengar dan berinteraksi dengan generasi masa depan.

“Faedah membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik sudah diketahui umum dan telah dibahaskan berkali-kali di peringkat nasional,” kata wakil rakyat berkenaan.

Selain itu kata beliau, lebih penting lagi, matlamat negara melahirkan modal insan yang berdaya saing mesti menekankan pendidikan menyeluruh yang melangkaui bilik kuliah dan kurikulum yang diajar.

“Generasi yang kreatif dan inovatif lahir daripada minda yang bebas – yang diberikan sepenuhnya peluang berbahas, berbincang dan lebih penting lagi melakukan kesilapan agar mereka belajar daripada kesilapan mereka.

“Kita cuma menunggu masa sebelum mahasiswa negara ini yang membentuk kelompok pengundi yang penting, menghantar mesej menolak Barisan Nasional; memandangkan petanda jelas daripada pilihan raya umum 2008 telah diketepikan begitu sahaja,” kata mereka.

Mereka menambah, tindakan seterusnya untuk menyanggah keputusan Kabinet bahawa mahasiswa tidak bersedia terlibat di dalam politik ialah dengan menggambarkan kematangan dan pengaruh sebenar mahasiswa dan anak muda.

11 ulasan:

boY berkata...

Keputusan kabinet yang tetap tidak berubah yang mana pelajar mahasiswa tidak dibenarkan dan melarang pelajar untuk berpolitik. Oleh itu, pelajar mahasiswa diharapkan tidak akan melanggar undang-undang yang tetap tidak membenarkan pelajar untuk menyertai mana-mana politik.

mai berkata...

pada saya golongan mahasiswa tidak perlu terlibat dengan politik. mereka perlu fokus terhadap prestasi akademik mereka.

supra berkata...

mahasiswa tak perlulah nak terlibat dalam politik, berpolitik hanya akan menjejaskan pelajaran mereka sahaja.

Ted Medresher berkata...

bagi saya politik lah yang sebenarnya boleh menghancurkan dan menjejaskan etika pembelajaran di IPT. bayangkan jika pelajar dan pensyarah berpolitik dengan haluan politik masing2. bukankah ini boleh memberi kesan buruk kepada pelajar, malah besar kemungkinan unsur2 politik ini akan diserap masuk semasa sesi kuliah atau ketika musim peperiksaan. fikirkanlah, jangan ambil mudah setiap tindakan tanpa mengkaji kesannya.

Ted Medresher berkata...

pembangkang setuju sebab mereka tidak kisah dengan masa depan pelajar, yang mereka mahu hanya sokongan dari pelajar2 ini. secara logiknya, ibubapa menghantar anak2 mereka ke IPT untuk belajar bukan berpolitik.

eika berkata...

jika mahasiswa dibenarkan berpolitik, dikhuatiri akan menjejaskan pretasi pelajar. mungkin juga akan wujud puak-puak di dalam universiti jika mereka berpolitik. disebabkan itulah saya merasakan mahasiswa tidak perlu terlibat dengan politik. mereka boleh berpolitik apa bila tamat pengajian kelak.

Jason berkata...

Mahasiswa tidak perlulah melibatkan diri dalam politik. Kalau mahu pun, biar lepas tamat pengajian.

Dayang berkata...

Agak susah kalo mahasiswa berpolitik. Yes, memang mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara tetapi sekiranya ke arah yang lebih extreme, itu suda bahaya.

Jason berkata...

Yang penting sekarang adalah fokus terhadap prestasi akademik dan membuat ibubapa bangga.

mike berkata...

mahasiswa harus memberikan perhatian sepenuhnya kepada komitmen mereka sebagai seorang pelajar...berpolitik mungkin sekali akan menjejaskan pencapaian mereka dalam akademik sekaligus menyebabkan modal insan yang berkualiti tidak dapat dibentuk untuk pembangunan negara..

mike berkata...

oleh itu, adalah wajar bagi kerajaan untuk melarang mahasiswa berpolitik demi kebaikkan mahasiswa itu sendiri..