KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda PAS Pusat bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, 23 Ogos ini bagi membincangkan idea membenarkan penglibatan mahasiswa dalam politik.
“Kami menyambut baik kesediaan Timbalan Menteri Saifuddin untuk bertemu kami, jadi kami bercadang untuk bertemu dengan beliau pada 23 Ogos ini, urusan telah dibuat dan tarikh pertemuan yang dicadangkan itu bergantung pada kelapangan beliau,” kata Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Al-Tantawi ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
“Segala aturan telah dibuat, kami yakin akan memperoleh pengesahan tarikh pertemuan minggu depan,” kata beliau lagi.
Dewan Pemuda PAS Pusat juga merancang untuk menyerahkan memorandum, hasil kajian pihaknya, yang menyenaraikan kewajaran membenarkan mahasiswa IPTA aktif berpolitik.
Dua hari lalu Saifuddin yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno menyatakan kesediaan untuk menemui sesiapa sahaja termasuk Pemuda PAS bagi membincangkan idea membenarkan penglibatan mahasiswa dalam politik.
“Saya bersedia untuk berbincang dengan sesiapa sahaja, saya akan menerima jemputan sesiapa sahaja sama ada Pemuda PAS atau daripada mana-mana pihak,” kata Saifuddin yang akan menemui mereka atas kapasiti sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno.
Ahli Parlimen Temerloh itu ada menerima permintaan daripada beberapa pihak lain berhubung isu semasa ini.
Saifuddin juga akan membawa idea berkenaan ke perhatian Majlis Tertinggi Umno 27 Ogos ini.
Beberapa laporan sejak Rabu lalu menyebut Kabinet telah menolak idea membenarkan mahasiswa menyertai politik secara aktif.

0 ulasan:
Catat Ulasan