Khamis, 12 Ogos 2010

Saifuddin tetap bawa idea benar pelajar berpolitik ke MT Umno 27 Ogos



Khairy menyifatkan keputusan Kabinet semalam sebagai ketinggalan zaman. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mahu meneruskan iltizamnya untuk membawa syor agar mahasiswa pusat pengajian tinggi awam dibenar sertai politik ke Majlis Tertinggi (MT) Umno hujung bulan ini.

MT Umno dijadual mengadakan mesyuarat bulannya 27 Ogos ini.

Dalam mesej menerusi Twitter lewat malam tadi, Saifuddin yang juga anggota MT berkata beliau “menantikan mesyuarat MT 27 Ogos untuk membawa isu-isu politik dan pelajar.”

Reaksi itu dikeluarkan selepas laporan awal menyebut Kabinet telah menolak idea membenarkan mahasiswa menyertai politik secara aktif.

Laporan awal Bernama petang semalam menyebut Kabinet bersetuju melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik.

Laporan itu yang memetik Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin ditarik balik beberapa jam kemudian.

Ekoran laporan awal media termasuk berita SMS keluaran beberapa akhbar, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin secara terbuka menyifatkan keputusan Kabinet untuk tidak membenarkan pelajar universiti menyertai parti politik sebagai satu pemikiran ketinggalan zaman.

Pendirian yang sama dilahirkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan awal 27 Julai lalu, Saifuddin berkata beliau akan membawa cadangan itu mesyuarat MT Umno akan datang.

Saifuddin berkata sudah tiba masanya Akta Universiti dan Kolej Universiti dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terlibat dalam politik.

Walaupun akta itu dipinda pada tahun 2008 di mana penuntut IPTA dibenar menyertai pertubuhan politik setelah mendapat kebenaran Naib Canselor, beliau berkata akta itu perlu dikaji semula.

“Keputusan Kabinet untuk membolehkan pelajar universiti menyertai parti politik adalah (langkah) pengecut dan pemikiran ketinggalan zaman,” kata Khairy menerusi Twitter sejurus selepas keputusan Khaled diumumkan.

Kemudian beliau menambah: “Ini bayangan kepada Kabinet: Anda mahukan undi golongan muda, mula dengan mempercayai mereka.”

Kata Khairy, ekoran pandangan lama bahawa pelajar universiti adalah mereka yang antikerajaan, bukan bermakna keputusan seumpama itu mutkamad selama-lamanya.

“Misalnya, pelajar antikerajaan dari Oxford pada 1990-an, kini Ketua Pemuda Umno. Macam mana?” katanya.

Anwar pula berkata “larangan mahasiswa berpolitik (adalah keputusan) jumud, usang dari pimpinan autoritarian Umno-BN.”

“Mahasiswa perlu didedah dengan ilmu, teroka,” kata Ketua Pembangkang ini.

0 ulasan: