KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut menganggap pelaksanaan dan penguatkuaan sistem saman ekor oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai tidak adil dan berat sebelah.
Hari ini, Suhakam menerima memorandum berkaitan dengan tindakan disenarai hitam oleh JPJ daripada Jawatankuasa Bertindak Kempen Saman Ekor, yang diketuai Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, masalah terbesar ialah tiadanya mekanisme berkesan untuk menyalurkan suara pihak-pihak teraniaya.
“Jadi, masalah penguatkuasaan adalah hanya lebih pada sebelah pihak. Tak ada mekanisme untuk pastikan kedua-dua pihak mendengar dan memberi maklum balas,” katanya.
Aduan jawatankausa itu adalah berasaskan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut “tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya Hak terhadap kecuali mengikut undang-undang dan “tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.”
Semalam, jawatankuasa itu mengadakan pertemuan di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk mengumpul fakta dan nama mereka yang dibelenggu masalah seperti bakal atau telah disenaraihitamkan serta tidak boleh memperbaharui cukai jalan akibat pengeluaran notis saman ekor.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan yang telah diambil pihak berkuasa berhubung saman ekor terhadap pesalah trafik tidak bercanggah dengan undang-undang.
Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan menerima banyak maklum balas berhubung perkara itu termasuk rungutan daripada orang ramai yang menganggap ia sesuatu yang membebankan.
Beliau berkata rungutan yang diterima termasuk masalah untuk memperbaharui cukai jalan dan ada juga yang disaman berkali-kali dengan jumlah kompaun agak besar sehingga membebankan mereka yang tidak berkemampuan.
Isu saman ekor telah dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Sha’ani juga berpendapat penguatkuasaan saman ekor seperti yang ada kini mengekang aktiviti ekonomi sesetengah peniaga dan membahayakan pengguna yang terpaksa menggunakan kenderaan walau tidak dapat memperbaharui cukai jalan.
“Ada juga peniaga yang ada beberapa kenderaan disenarai hitam, mengekang operasi perniagaan mereka sendiri.
“Ramai juga yang membahayakan diri terpaksa membawa kenderaan yang tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insurans jika berlaku kemalangan,” katanya.
Beliau juga berkata sikap masyarakat yang mengganggap semua notis yang mempunyai kepala surat agensi kerajaan sebagai muktamad adalah silap kerana proses pengadilan dan hukuman adalah kerja badan kehakiman dan bukannya penguatkuasaan.
Suhakam memperhalusi aduan KASE dan akan menghantar satu inkuiri kepada JPJ serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam masa yang terdekat.
Namun, Sha’ani tidak memberikan tarikah sebenar.
Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tindakan JPJ dan PDRM menunjukkan agensi kerajaan ini membelakangi kuasa mahkamah kerana seseorang yang menerima saman ekor tidak langsung diberi peluang menjawab pertuduhan ke atas dirinya di mahkamah.
“Polis dan JPJ bagi saya melalui perkara ini melakukan sebagai satu perbuatan merampas kuasa mahkamah.
“Kita tak halang saman tapi haruslah kena ada prosedur tententu berasaskan sistem demokrasi,” jelas beliau.

0 ulasan:
Catat Ulasan