Oleh Jamilah Kamarudin
KUALA LUMPUR: Tertuduh kes kebakaran Gereja Metro Tabernacle dekat sini hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau bukanlah dalang yang terlibat dalam kejadian itu, tetapi hanya sebagai saksi yang memerhatikan sekumpulan lelaki yang melakukan perbuatan khianat tersebut.
Tertuduh pertama (OKT1), Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, semasa keterangan bela diri berkata, beliau hanya memerhatikan sahaja di seberang jalan sekumpulan individu seramai tujuh hingga lapan orang yang memecahkan tingkap kaca menggunakan kayu besbol dan membakar gereja tersebut.
Faizal juga mendakwa kehadirannya di restoran Old Town White Coffee sebelum waktu kejadian juga kerana mahu bertemu rakannya yang hanya dikenali sebagai Joe sebelum pergi ke rumah rakannya, Hamzan Zainal Abidin untuk jamuan barbeku (BBQ).
"Saya mahu ke rumah Hamzan untuk BBQ pukul 10.00 malam, tapi berjanji untuk berjumpa Joe dahulu di Old Town White Coffee sebelum bergerak sama-sama ke rumah Hamzan.
"Di sana, saya terserempak dengan sekumpulan rakan dan berbual-bual, kemudiannya dapat tahu ada orang yang hendak bakar gereja tapi tidak tahu dimana.
"Disebabkan rasa ingin tahu, saya ikut serta dengan menaiki motosikal pergi ke tempat kejadian. Tidak lama selepas saya sampai, saya lihat ada orang sedang pecahkan tingkap kaca guna kayu besbol dan api marak tidak lama selepas itu," katanya.
Faizal turut menambah, selepas melihat kejadian beliau terus mengajak adiknya yang juga tertuduh kedua (OKT2), Raja Mohamad Idzham, 22, pergi ke rumah Hamzan di Sungai Sering, Ulu Kelang.
Beliau semasa ditanya peguam bela Datuk Hanif Hashim sama ada sekumpulan rakan yang ditemuinya di Old Town White Coffee itu terlibat membakar gereja, beliau turut menafikannya.
"Semasa perjalanan, saya tak nampak kumpulan saya tapi kumpulan lain yang menggunakan kayu besbol pecah dan bakar gereja. Kumpulan kami hanya memerhatikan sahaja," katanya.
Namun ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Azlina Rasdi jika beliau ada membuat sebarang panggilan kecemasan 999, atau melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai kejadian itu, beliau mengakui tidak ada membuat sebarang laporan polis mahupun panggilan kecemasan.
Menjelaskan mengenai kecederaan yang diperolehinya, Faizal turut menafikan ia disebabkan api ketika bakar gereja, tetapi disebabkan daripada kecederaan semasa membakar kayu untuk dijadikan bara semasa BBQ.
Katanya, semasa sampai di rumah Hamzan selepas menyaksikan kebakaran gereja sekitar jam 12.00 malam, beliau dimarahi Hamzan kerana kelewatannya dan terus melakukan persiapan untuk BBQ.
Namun ketika membakar kayu untuk dijadikan bara, api yang marak tiba-tiba menyambar bajunya.
Terlalu dekat dengan api
"Saya tersilap kerana terlalu dekat dengan api. Jadi api naik menyambar muka dan baju, bila buka baju api di baju terkena muka pula," katanya.
Berikutan itu, beliau yang tidak berbaju terus pergi ke Klinik Izham yang berdekatan sebelum dirujuk ke Pusrawi dan Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) dengan bantuan rakannya Joe.
Dakwaan Faizal itu turut disokong Idzham yang mengatakan dirinya terdengar jeritan abangnya sebelum bergegas menyelamatkan keadaan.
Idzham semasa giliran membela diri berkata, beliau yang terlihat abangnya dijilat api selepas terdengar jeritan terus bertindak membuka baju Faizal sehingga turut mengalami kecederaan kecil di tangan.
"Kerana tangan saya cedera, Joe yang tolong bawa Apai (Faizal) pergi klinik. Selepas itu, tangan saya mula rasa sakit dan kulit menjadi merah serta menggelembung. Saya kemudiannya mendapatkan rawatan di Pusrawi," katanya.
Idzham dalam keterangannya turut menafikan laporan polis yang dibuatnya mengenai kecederaan abangnya menggunakan kad pengenalan OKT1 itu adalah palsu.
Hakim S M Komathy Suppiah kemudiannya menangguhkan perbicaraan esok bagi mendengar keterangan saksi Hamzan dan Inspektor Haris.

0 ulasan:
Catat Ulasan