KOTA BELUD — Siasatan awal menunjukkan kejadian dua anggota 10 Briged Para dari Kem Terendak, Melaka yang lemas ketika menjalani latihan simulasi serangan perairan semalam berpunca daripada kesilapan manusia.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa mendedahkan perkara itu hari ini berkata satu pasukan penyiasat telah ditubuhkan bagi meneliti perkara tersebut sekaligus bagi memastikan kejadian sedemikian tidak berulang pada masa hadapan.
“Kita bersimpati dengan keluarga mangsa dan akan memastikan kebajikan mereka diutamakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompeni Askar Wataniah bagi enam kawasan Parlimen iaitu kawasan Kota Kinabalu, Kota Belud, Penampang, Tenom, Pensiangan dan Ranau di sini.
Prebet Syahrul Nizam Salim, 24, dari Kor Kesihatan Diraja dan Kraftman Mohd Hafizzullah Sohok dari Skuadron Armor (Para), 19, lemas dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi semalam ketika kedua-duanya sedang dalam latihan kursus penyesuaian Beret Merun (Para) di kolam Menara Serbaguna Batalion ke-8 Rejimen Ranjer Diraja, Melaka.
Syahrul Nizam yang berasal dari Gemas, Negri Sembilan dan Mohd Hafizullah dari Pasir Puteh, disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka.
Zahid menambah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memastikan segala peraturan, termasuk semasa latihan dipatuhi bagi mengelak daripada kejadian yang tidak diingini.
“Ini bukan kita rancang, tapi kita mahu kesiapsiagaan diletakkan pada tahap tertinggi supaya tidak ada lagi kemalangan berlaku di masa hadapan,” katanya, sambil berharap kejadian tersebut tidak akan menjejaskan semangat anggota ATM secara keseluruhannya.

0 ulasan:
Catat Ulasan