Khamis, 9 September 2010

18 rumah kedai musnah dalam kebakaran di Langkawi

BERNAMA

LANGKAWI: Jeritan rakan-rakan dari kedai bersebelahan menyelamatkan seorang pemilik bengkel motosikal yang sedang nyenyak tidur, dalam satu kebakaran yang memusnahkan 18 rumah kedai termasuk bengkelnya di Kelibang, Kuah di sini, awal hari ini.

Chen Kean Lam, 42, berkata, beliau terus bingkas bangun dan menyelamatkan diri apabila mendengar jeritan rakan-rakannya itu.

"Walaupun saya sedih semua barang dalam kedai tidak dapat diselamatkan tetapi jeritan kawan-kawan telah menyelamatkan saya," katanya di sini.

Sementara itu, Ketua bomba Zon Langkawi, Yaakob Hassan, berkata pihaknya mengambil masa dua jam mengawal kebakaran berikutan pili bomba yang tidak berfungsi dan terdapat bahan binaan termasuk cat yang sukar dipadamkan.

Sebaik tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 1.54 pagi, api sedang marak menjilat rumah kedai itu yang juga adalah bangunan lama separuh papan yang antaranya termasuk dua rumah kediaman, kedai buku, bengkel motor dan kedai menjual bahan-bahan binaan.

Katanya, empat jentera termasuk dua dari balai bomba Jalan Persiaran Putra dan Jalan Air Hangat dengan 42 anggota diketuai beliau sendiri dapat dapat menyelamatkan 15 rumah dan dua kedai di kawasan berdekatan.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya ketika dihubungi.

0 ulasan: