SHAH ALAM — Sebanyak 26 anggota Jawatankusa Pusat (CC) Parti Makkal Sakti Malaysia meletakkan jawatan untuk membolehkan pemilihan parti itu diadakan pada 25 Sept ini, kata setiausaha agungnya Kannan Ramasamy hari ini.
Beliau berkata jumlah itu melebihi majoriti dua pertiga yang disyaratkan oleh perlembagaan parti tersebut untuk membolehkan pemilihan baru diadakan. Jawatankuasa pusat itu mempunyai 31 anggota.
“Peletakan jawatan secara beramai-ramai itu perlu dibuat untuk membolehkan pemilihan baru didakan bagi menyelesaikan krisis kepimpinan yang melanda parti ini dan mengelaknya daripada kehilangan sokongan rakyat.
“Makkal Sakti sudah kesuntukan masa dan kami tidak boleh biarkan krisis ini berlarutan. Sekiranya krisis ini berterusan, ia akan memberi kesan negatif terhadap imej Makkal Sakti. Jadi, saya percaya pemilihan yang diadakan kelak boleh menyelesaikan semua isu,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di sini.
Kannan berkata anggota jawatankuasa itu meletakkan jawatan atas kerelaan sendiri, tanpa tekanan mana-mana pihak.
Parti Makkal Sakti Malaysia dilanda krisis kepimpinan sejak akhir tahun lepas apabila puak yang memihak kepada presidenya RS Thanenthiran (gambar) dan yang menyokong timbalan presiden A. Vathemurthy saling menolak pemimpin satu sama lain dan membawa perbalahan mereka kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Parti tersebut dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 10 Oktober tahun lepas dan dianggap menjadi pemangkin dalam usaha memulihkan sokongan masyarakat India terhadap Barisan Nasional (BN).
Kira-kira 400 anggota perwakilan layak memilih presiden, timbalan presiden, setiausaha agung, bendahari, tiga naib presiden dan 25 anggota jawatankuasa pusat pada mesyuarat agung luar biasa dan tahunan parti itu pada 25 September di Dewan KR Soma, Wisma Tun Sambanthan, Jalan Kg Attap, Kuala Lumpur.
Kannan berkata beliau telah mengundang setiausaha agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merasmikan mesyuarat itu. — Bernama

0 ulasan:
Catat Ulasan