Ahad, 19 September 2010

Dalang sebar SMS dikesan

BERITA HARIAN ONLINE

TAIPING: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah berkata, beliau dapat menelah dalang di sebalik penyebaran SMS mengaitkannya dengan suspek utama kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Namun, beliau tidak akan mendedahkan dalang itu sebaliknya membiarkan polis membuat siasatan selepas laporan dibuat di Balai Polis Pekan Baru, Ipoh kelmarin. Murugiah menerima SMS itu malam Khamis lalu.

Sambil mengulangi dirinya tiada kena mengena dengan suspek, Timbalan Menteri itu berkata, beliau menghadiri sesuatu majlis kerana dijemput atas kapasitinya dalam kerajaan.

“SMS dan cerita yang mengaitkan saya dengan dia adalah palsu dan fitnah pihak tertentu untuk memburuk-burukkan saya. Saya rasa saya tahu siapa membuat dakwaan palsu, fitnah dan perbuatan tidak bertanggungjawab itu tetapi saya serahkan perkara ini kepada polis,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan dan beras 1Malaysia sumbangan sebuah syarikat kepada 100 penduduk miskin di Simpang, di sini semalam, turut menafikan bahawa polis ada menyerbu pejabatnya.

0 ulasan: