Sabtu, 11 September 2010

Ibu Sosilawati tak sangka ada orang niat buruk terhadap anak

BERITA HARIAN ONLINE

BATU PAHAT: “Siapa sorok anak aku, berdosa dia,” kata ibu jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dilaporkan hilang bersama tiga individu lain ketika di Banting, Hulu Selangor sejak 30 Ogos lalu.

Yatmah Abdul Rahman, 80, tidak menyangka ada orang tergamak menyembunyikan atau melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap anaknya, lebih-lebih lagi beberapa hari menjelang Aidilfitri.

“Patutlah mata mak cik selalu mengerenyet, rasa macam nak menangis. Rupa-rupanya Wati tak balik raya ini,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini, semalam.

Apa yang lebih memilukan, Yatmah setia menanti Sosilawati di pintu hadapan rumahnya setiap hari dan sering dilihat menadah tangan berdoa supaya anaknya selamat kembali.

Yatmah berkata, beliau sedih mengenangkan keadaan Sosilawati pada Aidilfitri ini sama ada beliau berpeluang menikmati juadah hari raya kegemarannya iaitu lodeh, rendang dan kari ayam.

Adiknya, Rosnani Lawiya, 45, berkata persiapan raya keluarga serta adik beradiknya tahun ini tidak bermakna tanpa Sosilawati.

“Macam mana kami nak beraya bila Kak Wati tiada.

“Dialah yang memeriahkan suasana raya kami adik beradik di rumah ibu.

“Kak Watilah yang akan mengatur segalanya, termasuk membantu memasak hidangan juadah hari raya bersama kami dan mengemas rumah ibu pada petang raya,” katanya.

Rosnani berkata, beliau juga amat sedih apabila terpandang pelbagai jenis kerepek yang dibuatnya atas permintaan kakaknya itu.

“Tumpi, tempeyek serta kerepek pisang adalah kegemaran Kak Wati dan setiap tahun beliau pasti meminta saya membuatnya.

“Apa yang paling menyedihkan adalah keadaan anak-anak Kak Wati yang terpaksa beraya tanpa ibu mereka di Kuala Lumpur," katanya.

0 ulasan: