Sabtu, 11 September 2010

Imigresen akan percepat tukar kakitangan ‘panas’

Oleh Norfatimah Ahmad

Langkah drastik banteras pegawai rasuah di pintu masuk sempadan

KUALA LUMPUR: Rombakan besar-besaran memindahkan anggota dan pegawai imigresen yang dikenal pasti terbabit dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa akan dipercepatkan bagi mengukuhkan keselamatan pintu keluar masuk negara yang dikategorikan sebagai lokasi panas.

Sumber memberitahu Berita Harian, semua kakitangan jabatan yang disyaki terbabit dalam perlakuan negatif itu akan dikenakan tindakan selepas mendapat persetujuan pengurusan imigresen.

“Keputusan itu hasil pemantauan dan pemeriksaan rapi oleh pasukan bertindak khas yang ditubuhkan antara jabatan berkenaan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak dua minggu lalu.

“Laporan berkaitan kelemahan tugas yang dijalankan kakitangan imigresen, sistem serta prosedur kerja yang hampir siap itu akan dibentangkan untuk pertimbangan pengurusan jabatan, diketuai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, minggu ini,” katanya semalam.

Sebelum ini, laporan eksklusif Berita Harian mendedahkan ada anggota dan pegawai imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, di Pelabuhan Klang menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.

Setiap anggota penguat kuasa dipercayai dibayar RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cop palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan.

Mengulas isu sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan SPRM menyiasat segera pendedahan itu dan mengambil tindakan susulan terhadap kakitangan awam yang terbabit dalam rasuah.

Sumber itu juga berkata, tindakan memindahkan kakitangan imigresen yang juga dianggap ‘panas’ adalah langkah jangka pendek bagi menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa hingga menjejaskan keselamatan negara.

“Kakitangan ‘panas’ ini dilihat sudah terlalu selesa bertugas di tempat sedia ada hingga mempunyai kepentingan peribadi. Malah, mereka mempunyai jaringan dengan ejen tiket di jeti berkenaan yang turut disyaki terbabit dengan kegiatan sindiket pemalsuan dokumen dan cop imigresen untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang asing tanpa izin,” katanya.

0 ulasan: