
KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencadangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memberikan kuasa kepada pegawai JPJ menjalankan ujian air kencing.
Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, cadangan itu akan dikemukakan pada sesi Parlimen Oktober ini dan apabila ia diluluskan dijangka Disember ini paling awal ia dapat dilaksanakan.
“Bagaimanapun ia bergantung kepada Parlimen, cuma kami akan memberikan cadangan itu kepada kerajaan supaya memberi kuasa kepada pegawai JPJ jalankan ujian air kencing sendiri tanpa perlu Agensi Antidadah Kebangsaan.:
“Cadangan ini perlu dalam usaha memudahkan urusan pihak kami mengesan pemandu-pemandu yang dipengaruhi dadah sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baung Bayam, di sini semalam.
Beliau berkata:, pihaknya mengesan empat kes pemandu bas didapati positif dadah di tiga terminal bas termasuk satu kes di terminal bas Langgar, Kota Bharu, dua kes di terminal bas Larkin Johor dan satu kes di terminal bas Alor Setar, Kedah.
Solah berkata, pihaknya menyedari pengesanan awal dadah mampu mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya.
“Pihak kami hanya dapat mengesan pemandu yang positif dadah ketika menjalankan ujian saringan air kencing dengan bantuan AADK sebelum perjalanan bermula di terminal-terminal bas berkenaan.
“Jika pindaan akta berkenaan diluluskan kelak JPJ mahukan tindakan sudah diambil pegawai kami terhadap pemandu terbabit lebih awal dan bukannya sebelum kenderaan berlepas atau selepas berlaku kemalangan,” katanya.

0 ulasan:
Catat Ulasan