Sabtu, 18 September 2010

Karpal mahu DAP larang calon tanding DUN, Parlimen serentak



GEORGE TOWN— Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh hari ini berkata sudah sampai masa bagi parti itu tidak lagi menggunakan amalan lama yang mana membenarkan seseorang calon bertanding kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dalam pilihan raya.

Beliau berkata amalan itu sudah digunakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ia sepatutnya tidak lagi diguna pakai pada pilihan raya akan datang.

“Sebelum ini kita tidak mempunyai banyak calon.

“Saya sendiri memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen selama tiga penggal... bagaimanapun sekarang kita ada ramai calon yang berkaliber,” katanya ketika sidang media di sini.

Karpal (gambar) berkata parti perlu “mempertimbangkan perkara ini dengan serius” bagi memastikan calon tidak bertanding dua kerusi pada pilihan raya akan datang, dijangka selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu, perlu ada pengecualian dalam amalan tersebut.

Menurut Karpal, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga harus menjadi Ahli Parlimen demi kepentingan negara.

Ketika ditanya jika parti komponen Pakatan Rakyat lain akan membenarkan DAP memimpin dalam perkara ini, Karpal berkata: “Saya fikir semua boleh tapi kita tidak boleh bercakap untuk mereka dan kita akan lakukannya jika boleh.”

“Sesiapa yang memegang dua kerusi harus menerima cadangan yang kita kemukakan ini,” tambahnya.

Karpal juga mahu kerajaan menggubal Akta Kesalahan Pilihan Raya membenarkan semua rakyat Malaysia dibenarkan mengundi dalam pilhan raya.

“Di Australia dan Singapura, semua diwajibkan mengundi dan mereka yang gagal berbuat demikian akan dikenakan penalti,” katanya sambil menambah akan membawa isu ini pada sidang Parlimen akan datang.

Beliau juga menyokong Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Oh Teong Keong mengenai cadangan kelayakan bagi rakyat untuk mengundi dikurangkan dari 21 tahun kepada 18 tahun dengan mengatakan ia harus selari dengan Akta Umur Dewasa 1971.

“Akta Umur Dewasa 1971 ini menyatakan 18 tahun adalah umur dewasa. Saya tidak nampak kenapa perlu 21 tahun (dibenarkan mengundi),” katanya.

0 ulasan: