Keengganan Menteri Dalam Negeri Datuk Hishamuddin Hussein berjumpa keluarga-keluarga yang menjadi mangsa keganasan polis mencerminkan sikap angkuh kerajaan yang tidak mempedulikan keluhan rakyat yang mahukan keadilan.
Semalam, enam keluarga mangsa termasuk keluarga Aminulrasyid Amzah, 14 tahun, yang maut ditembak pihak berkuasa dan keluarga A. Kugan yang mati didera sebelas anggota polis sewaktu dalam tahanan dihalang dari memasuki kompaun kementerian dalam negeri putrajaya .
Beberapa keluarga mangsa keganasan polis telah berkumpul bagi menyerahkan memorandum 'Quest for justice' menuntut tindakan diambil terhadap kesemua anggota yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.
Mereka diwakili oleh peguam hak asasi manusia, N Surendran, Latheefa Koya, Shamsul Iskandar Md Akin, Fadiah Nadwa dan beberapa peguam hak asasi lain.
N Surendran berkata beliau amat kecewa dengan Hishamuddin yang memandang remeh kehadiran enam keluarga yang menyaksikan orang kesayangan mereka menjadi mangsa keganasan polis.
Pihaknya telah memaklumkan mereka mahu menyerahkan memorandum kepada kementerian, tetapi kehadiran mereka tidak disambut dengan persiapan yang sewajarnya dan tiada pegawai ditugaskan untuk menerima memorandum bagi pihak kementerian.
Sehingga kini anggota polis yang terlibat dan yang telah dikenalpasti menyalahgunakan kuasa bukan sahaja tidak dikenakan tindakan tetapi tidak meminta maaf langsung kepada keluarga mangsa di atas kecualian mereka.
Dalam kes A Kugan, 23 tahun semasa mati di lokap, hanya seorang anggota polis sahaja yang didakwa di mahkamah sedangkan jika diperhatikan perjalanan kes, amat jelas terdapat penglibatan ramai lagi anggota yang menyebabkan kematian Kugan.
Surendran seterusnya menjelaskan, polis mengambil langkah yang sama dalam kes Shahril Azlan Ahmad Kamil yang ditembak oleh polis tanpa alasan kukuh.
Malangnya sehingga kini, juga tiada tindakan diambil terhadap mana-mana anggota yang terlibat.
Memorandum ini juga menuntut KDN mengambil tindakan tegas dengan mendakwa semua anggta polis yang terlibat dalam kes salahguna kuasa, termasuk Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang telah memberi kenyataan palsu dalam dua kes salah guna kuasa iaitu dalam kes remaja Aminulrasyid Amzah, 14 tahun yang mati ditembak polis dan juga dalam kes Kugan.
Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet digesa meminta maaf kepada semua keluarga mangsa.

0 ulasan:
Catat Ulasan