KOTA KINABALU: Persaingan sengit untuk merebut jawatan PKR di Sabah semakin ketara apabila seorang calon membuat laporan polis terhadap kempen pihak lawan yang didakwa memfitnah dirinya.
Ronnie Klassen yang menjadi pencabar Christina Liew untuk jawatan Ketua PKR Cabang Kota Kinabalu membuat laporan di balai polis Karamunsing 31 Ogos lalu mendakwa pesaingnya itu berkempen untuk pemilihan dengan memfitnah dirinya.
Berikutan itu, Klassen turut mengemukakan satu laporan rasmi kepada biro disiplin parti terhadap Liew yang didakwa melanggar etika parti.
Dalam sidang media yang diadakannya Selasa lalu, Klassen mendakwa Liew yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah bersama Ketua Wanita PKR Kota Kinabalu Rosalind Bion telah menghantar kata-kata fitnah dan berniat jahat terhadap diri dan AJKnya melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ahli cabang yang lain.
Selain Klassen, Liew turut menghadapi pencabar daripada bekas pemimpin Part Bersatu Sabah (PBS) Dr Chong Eng Leong dan bekas pemimpin Parti Progresif Sabah (SAPP) Benny Quek Yi Than dalam pemilihan cabang Sabtu ini.
Chong bergandingan dengan Quek bertanding melawan muka lama, Roman Lo dan Wong Kin Yin bagi merebut jawatan timbalan dan naib ketua cabang.
Menurut Klassen, kandungan SMS yang dihantar Liew dan Bion itu mendakwa dirinya tidak bermoral.
"Saya boleh terima apa sahaja SMS tetapi apabila beliau (Liew) menyentuh hal peribadi saya dan melanggar kod etika parti dalam Seksyen 2.4, saya tidak boleh bertolak ansur lagi.
"Jadi nasihat saya kepada Christina, jangan terlalu ghairah menghentam saya.
"Ini hanya satu pemilihan jawatan yang sihat dan bukan sebagai tempat untuk menjatuhkan seseorang. Jika saya mahu menghentam seseorang, saya akan hentam Umno atau Barisan Nasional (BN) dan bukannya ahli parti sendiri," katanya.
Klassen juga berkata sudah tiba masanya ‘pembersihan’ jawatankuasa dilakukan dan muka baru diperlukan bagi membawa hala tuju parti diperingkat cabang.
"Matlamat saya adalah ingin ‘membersihkan struktur organisasi PKR cabang dan meningkatkan lagi semangat parti serta bilangan keahlian PKR yang kini sudah mencecah 3,340 ahli," katanya.
Beliau juga mencabar Liew untuk berdebat mengenai pencapaian yang telah dilaksanakannya sepanjang memegang jawatan tersebut sejak 10 tahun lalu dan strateginya selama tiga tahun dalam penggal akan datang.
"Memandangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin lain akan tiba di Sabah esok (Rabu), mungkin kita boleh menjemput mereka untuk turut serta dalam debat itu," katanya.
Klassen turut menyatakan pendiriannya yang bebas dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam PKR selain turut menafikan dirinya berpihak kepada bekas Ketua MPN Sabah Ansari Abdullah yang menjadi pesaing kepada Naib Presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kittingan.
Beliau turut menggambarkan barisan kepimpinannya sebagai ‘kelahiran baru’ yang mendukung semangat parti secara akar umbi dan menggesa pemimpin parti supaya ‘berhenti daripada bertelagah sesama sendiri’.
"Nasihat saya kepada mereka, hentikanlah semua ini. Jika mereka peka mereka akan dengar suara ahli parti dari akar umbi yang menyuruh mereka hentika segala pergaduhan yang tidak membawa apa-apa erti," katanya.

0 ulasan:
Catat Ulasan