Sabtu, 18 September 2010

Kenalan: Sosilawati derma rumah kebajikan RM150,000 setiap tahun

GOMBAK — Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang dilaporkan menjadi mangsa pembunuhan bersama tiga pengiringnya baru-baru biasanya akan mendermakan RM150,000 setiap tahun kepada rumah-rumah kebajikan dan fakir miskin tanpa mengira kaum.

Menurut kenalan terdekat yang enggan dikenali berkata Sosilawati (gambar) adalah seorang individu yang selalu menderma dan membantu golongan yang memerlukan.

“Beliau (Sosilawati) memang seorang yang baik hati dan setiap tahun beliau pasti akan menderma sebanyak RM150,000 kepada anak-anak yatim dan juga golongan kurang kemampuan.

“Selain itu, beliau juga akan membantu semua orang susah tanpa mengira kaum termasuk Melayu, Cina dan India,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkembangan anak-anak Sosilawati, dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut tetapi meminta supaya akhbar-akhbar tempatan tidak lagi menyiarkan laporan yang masih belum pasti kesahihannya.

“Anak Sosilawati minta saya supaya beritahu kepada wartawan agar tidak menyiarkan laporan yang tidak benar, biarlah polis jalankan siasatan dulu.

“Bila keluar laporan yang kata macam-macam mengenai Sosilawati, anak-anak beliau sangat sedih. Kasihankanlah kepada anak-anak beliau yang masih lagi berharap ibu mereka masih lagi selamat.

“Kalau kejadian yang sama terjadi kepada ibu anda macam mana? Sudah pasti anda akan marah. Jadi saya minta akhbar-akhbar yang selama ini siarkan laporan yang tidak benar berhentilah sehingga keputusan DNA (ujian asid deoksiribonukleik) keluar,” tegasnya lagi.

Sosilawati, 47, yang juga bekas isteri penyanyi Nash dilaporkan hilang ketika urus niaga tanah di Banting pada 30 Ogos lalu selepas kali terakhir dilihat pada majlis berbuka puasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dua hari sebelum itu.

Turut hilang bersama beliau ialah peguam dari Tetuan Kamaruddin & Partners dari Putrajaya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai bank dari CIMB Bank Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan pemandu peribadi Sosilawati Kamaruddin Shansuddin, 44.

Kehilangan mereka hampir terungkai apabila polis menahan lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar “Datuk” baru-baru ini.

Empat daripada mereka mengaku telah membunuh kesemua mangsa, sebelum membakar mangsa dan abu mereka dibuang dalam Sungai Panchau, Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Sementara itu, seorang kawan rapat Sosilawati yang hanya dikenali sebagai Noriah berkata anak-anak Sosilawati sehingga hari ini masih percaya bahawa ibu mereka masih lagi hidup.

“Anak-anak masih percaya Sosilawati masih lagi hidup dan esok malam akan ada majlis bacaan Yasin dan kenduri doa selamat.

“Ini bukan majlis tahlil arwah hanya bacaan Yasin dan doa selamat kerana anak-anak percaya ibu mereka masih lagi hidup,” katanya.

Sementara itu, adik kandung lelaki Sosilawati lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar “Datuk” yang ditahan polis baru-baru ini sebagai “bukan manusia” sekiranya mereka benar-benar melakukan pembunuhan kejam tersebut.

“Bagi saya kalau benar-benar mereka lakukan pembunuhan kejam tersebut maknanya mereka bukan lagi manusia.

“Ini kerana manusia tidak akan tergamak melakukan perkara yang kejam sebegitu,” kata Masturi, 42, ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Masturi yang ketika ini masih berada di Batu Pahat, Johor berkata keluarganya masih percaya bahawa Sosilawati masih lagi hidup.

“Kalau mati mesti ada jasad. Barang-barang yang ditemui polis itu mungkin boleh diambil dari kakak saya sebelum dibuang.

“Selagi keputusan DNA belum keluar kami anggap beliau (Sosilawati) masih lagi hidup,” katanya yang akan tiba di Kuala Lumpur malam ini.

Masturi berkata apa sahaja keputusan selepas ini akan diterima dengan hati terbuka.

“Kalau keputusan DNA mengatakan bahawa yang dibunuh itu adalah kakak saya, maka saya dan keluarga akan terimanya dengan reda.

“Ini kuasa Allah tiada siapa yang boleh menghalangnya,” katanya.

Dia juga meminta supaya akhbar-akhbar tempatan supaya tidak lagi menyiarkan laporan-laporan yang tidak sahih kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

0 ulasan: