BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tidak sampai beberapa bulan memegang jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Peng Shieu, yang tampan dan masih bujang, melakukan sesuatu di luar jangkaan.
Beliau meminta rakan karib dan bekas teman sekolah, Chong Kwee Siong, untuk mendaki bersama Gunung Kinabalu, tanpa sebarang persediaan atau latihan.
Apabila buat pertama kali memaklumkan kepada kakitangannya dan sahabat karibnya mengenai hasrat mendaki gunung itu, kesemua mereka gelak ketawa, memikirkan dia hanya bergurau senda.
"Selepas lawatan kerja di sana, saya dengan rakan mendaki gunung itu. Saya mengambil masa tujuh jam untuk sampai ke Raban Lata iaitu jarak enam kilometer," katanya di sini.
Menceritakan pengalamannya itu, Gan, 44, berkata, beliau bersama Chong bermalam di Rumah Rehat Raban Lata dan memulakan pendakian selama empat setengah jam itu pada pada pukul 2.40 pagi untuk sampai ke puncak gunung tersebut.
Katanya, perjalanan ke puncak gunung itu amat sukar sekali khususnya pada 50 meter terakhir.
"Saya hampir putus asa tetapi kerana mahu jaga air muka saya meneruskan perjalanan. Saya fikir saya jadi orang terakhir sampai ke puncak gunung itu ketika mereka yang lain sudah bersedia untuk turun pada pukul 7.30 pagi.
Gan berkata, ketika pendakian, sendi buku lalinya terseliuh dan ia memperlahankan pergerakannya.
Ketika turun, Gan menghadapi satu lagi halangan kerana terpaksa berhenti rehat selepas tiap 15 langkah akibat kecederaannya itu tetapi akhirnya berjaya sampai di ibu pejabat Taman Kinabalu pada pukul 5.30 petang pada hari sama.
"Sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, tahap kecergasan saya masih jauh. Jauh sekali sebagai model contoh bagi generasi muda dalam bidang sukan," katanya, sambil menjelaskan beliau berazam menceburi sukan ketika masa lapangnya.
"Saya ingin menjadikannya sebagai tabiat," katanya.
"Akhirnya, saya berjaya menamatkan misi saya itu kerana mahu jaga air muka," katanya secara berseloroh.
Gan mendapat cuti sakit selama seminggu kerana kecederaan buku lalinya dan kesakitan otot lain akibat kekurangan latihan dalam azamnya menawan gunung tertingi di Asia Tenggara itu. -
Rais buta mana harta negara & Umno
1 jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan