Khamis, 9 September 2010

Konsep Kejiranan Lemah Punca Jenayah Pecah Rumah Di Musim Perayaan

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Konsep kejiranan yang lemah merupakan antara punca kejadian jenayah pecah rumah terutama pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Kebiasaannya pada hari itu, masyarakat Islam di ibu kota khasnya akan meninggalkan rumah untuk satu jangka masa yang agak panjang untuk pulang berhari raya di kampung masing-masing.

Oleh itu kecenderungan untuk berlaku jenayah seperti pecah rumah dan kehilangan kenderaan amat besar, demikian menurut Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah.

Katanya walaupun kegiatan pecah rumah terutama pada musim perayaan masih ada tetapi kegiatan mencuri kenderaan jarang berlaku kerana kepekaan oleh jiran-jiran tetangga.

"Seorang penyamun memerlukan dua atau tiga minit untuk memecahkan pintu kereta dan tempoh waktu itu jiran-jiran terdekat dan peka sempat untuk menahan penyamun tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata walaupun terdapat rondaan yang kerap semasa musim perayaan tetapi jika tiada keprihatinan jiran ia menyukarkan pihaknya untuk mendapatkan maklumat.

"Rondaan kerap dilakukan pada waktu siang dengan cara berjalan kaki, menaiki motosikal atau MPV dan jika berjalan kaki lebih memudahkan kerana pantauan yang teliti di dalam sesebuah rumah jelas dilihat," katanya.

Beliau berkata, selain keprihatinan jiran tetangga, wujudnya balai polis bergerak yang menjadi pusat operasi di kawasan-kawasan panas akan mengelakkan berlakunya sebarang jenayah.

"Pada musim perayaan, balai tersebut diletakkan secara kekal dan pihaknya akan memantau kenderaan yang keluar dan masuk terutama pada waktu malam dan sesiapa yang dilihat mencurigakan akan ditahan dan diperiksa," katanya.

Beliau juga menasihatkan semua warga Kuala Lumpur yang ingin pulang ke kampung supaya jangan meninggalkan barang yang berharga di dalam kereta bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah.

14 ulasan:

adam berkata...

tuan rumah perlu memaklumkan kepada jiran jika mereka pulang ke kampung agar jiran boleh membantu melihat-lihatkan rumah mereka. jiran tetangga juga perlulah peka dalam membantu mengelakkan kecurian pada musim perayaan.

ali asgar berkata...

Oleh itu, hubungan kejiranan ini penting untuk membantu menangani masalah pecah rumah ini. Sekiranya mempunyai maklumat diminta untuk melaporkan pihak polis supaya mudah untuk membantu pihak berkenaan.

maxi shenzi berkata...

dengan bilangan polis yang ada, mustahil mereka mampu menjaga setiap rumah atau kenderaan orang awam. individu itu sendiri bertanggungjawab memastikan keselamatan barang2 mereka.. tidak salah berbelanja lebih untuk kebaikan sendiri. gunakan segala kemudahan/teknologi yang ada sekarang..

Jonny berkata...

Konsep kejiranan ini perlu dipupuk sesama diri. Ini bukan sahaja boleh mengeratkan hubungan antara jiran dan juga boleh saling membantu memantau rumah masing masing.

Jonny berkata...

Saya mengambil kesempataan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya kepada Pengendali Blog dan juga saudara-saudara sekalian.

Ale berkata...

Kadang-kadang jiran juga yang buat onar. Harapkan pagar, pagar makan padi. Kadang-kadang.

mike berkata...

semangat kejiranan dan permuafakatan harus dieratkan..semangat kejiranan yang kuat boleh membantu pihak berkuasa membanteras jenayah di kawasan mereka..

mike berkata...

seharusnya setiap kawasan kejiranan/perumahan terutama sekali di kawasan bandar harus hidup bersatu-padu dan bermuafakat demi kesejahteraan dan keselamatan komuniti mereka..mengharapkan kepada pihak berkuasa seperti polis sahaja tidak mencukupi..kita harus bertindak dahulu..bak kata pepatah 'sesal kemudian tidak berguna'..

Paquin berkata...

Semangat kejiranan itu harus ada.. Sekurang-kurangnya tolonglah perhatikan rumah jiran yg balik bercuti :)

Paquin berkata...

Setuju mike. Jiran adalah orang yg paling dekat utk membantu menanggani kejadian pecah rumah. So beramah mesra lah dengan jiran tetangga, ada kebaikan juga tu ramai kenalan. hehe

Mambang berkata...

ya memang betul konsep kejiranan lemah punca jenayah pecah rumah. ditambah lagi orang-orang sekarang ni mengamalkan konsep tidak suka jaga tepi kain orang..

Mambang berkata...

zaman sekarang ni kalau setiap rumah tiada pagar tidak sah. lagi tinggi pagar setinggi benteng lagi bagus. tidak heranlah banyak kes pecah rumah. kalau tiada pagar pun susah juga nanti ayam itik anjing kucing jiran masuk rumah. pastu nanti lebih senang pencuri masuk. dan lagipun leceh juga kalau jiran-jiran suka bz body maka ramailah yang lebih suka hidup sendiri.

mandau berkata...

semangat kejiranan perlu ada dalam hidup bermasyarakat. jiran adalah umpama ahli keluarga sendiri harus saling bantu membantu.

mandau berkata...

semangat kejiranan perlu ada dalam hidup bermasyarakat. jiran adalah umpama ahli keluarga sendiri harus saling bantu membantu.