BEIJING – Malaysia akan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan baru dengan lebih 60 peratus daripadanya menawarkan gaji sederhana dan tinggi bagi memacu ke arah mencapai taraf negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.
“Pada waktu yang sama, 600,000 pekerja akan beralih daripada kelompok mereka yang bergaji rendah, manakala jumlah mereka yang berada dalam kelompok pekerja bergaji sederhana dan tinggi pula akan meningkat daripada 5.1 juta kepada 9.2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Pembangunan Sumber Manusia Peringkat Menteri kelima Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini dengan sub-temanya “penumpuan perhatian utama terhadap usaha memelihara dan menambah peluang pekerjaan dan pengamalan dasar makro ekonomi yang berorientasikan peluang pekerjaan”.
Kata beliau hampir 50 peratus peluang pekerjaan baru itu memerlukan kelulusan dalam bidang vokasional dan kelayakan bertaraf diploma.
Oleh itu, langkah lebih cergas akan diambil untuk membuat perubahan terhadap sistem pendidikan dan program latihan pekerja kami agar ia mampu meletakkan tenaga kerja kami pada tahap yang mampu memenuhi tuntutan perubahan dalam ekonomi global.
“Hari ini, hanya 28 peratus daripada tenaga kerja tergolong dalam kategori berkemahiran tinggi. Ini tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi yang ingin dicapai oleh Malaysia.
“Kami memerlukan pembelajaran berterusan, latihan sambil bekerja dan penguasaan kemahiran baru serta kemahiran dalam pelbagai bidang untuk meraih manfaat daripada teknologi baru,” katanya.
Beliau berkata kini, pendapatan per kapita Malaysia ialah sekitar US$7,600 dan kira-kira 3.8 peratus rakyatnya hidup di bawah garis kemiskinan.
“Ganjaran yang mereka terima daripada segi upah adalah tidak sepadan dengan kemahiran dan pencapaian tinggi mereka serta tidak berdasarkan merit,” katanya.
Dr Subramaniam berkata Malaysia komited untuk meningkatkan tahap kemahiran dan pendapatan tenaga kerjanya serta mengurangkan pergantungannya terhadap buruh asing.
“Malaysia telah menggubal satu dasar jangka panjang di bawah Model Baru Ekonomi (MBE), yang berpaksikan tiga prinsip utama untuk memacu kemajuan ekonomnya.
“Prinsip yang dimaksudkan ialah meningkatkan pendapatan per kapita daripada US$7,600 sekarang kepada US$15,000 menjelang 2020; memastikan pembangunan ekonomi dikekalkan dan diurus dengan baik untuk memelihara alam sekitar dan sumber asli negara dan memastikan manfaat daripada pertumbuhan ekonomi dinikmati oleh setiap warganya.
“Dua belas Bidang Utama Ekonomi Negara telah dikenal pasti untuk memacu MBE ke arah menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan mencapai kadar pertumbuhan ekonomi tujuh peratus dalam tempoh berkenaan,” kata beliau.
Sementara itu, dalam ucaptamanya, Menteri Sumber Asli dan Keselamatan Sosial China Yin Weimin mengemukakan tiga cadangan untuk meningkatkan kerjasama Negara anggota APEC dalam usaha membangunkan sumber manusia dan untuk menangani masalah sedia ada dalam pelaksanaan pembangunan ekonomi dan sosial.
Cadangan pertama ialah negara anggota APEC perlu mewujudkan satu mekanisme pembangunan sumber manusia untuk jangka panjang, bersungguh-sungguh mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menghasilkan pertumbuhan bersifat inklusif.
Cadangan kedua ialah penghasilan tiga dokumen – Kenyataan Bersama Peringkat Menteri, Pelan Tindakan dan Projek Pemupukan Pembangunan Kemahiran APEC – selepas mesyuarat itu untuk memastikan ia diadakan secara berkesan dan mampu membuahkan hasil.
Cadangan ketiga pula ialah agar dinamisme Kumpulan Kerja Pembangunan Sumber Manusia (HRDWG) APEC dipertingkatkan dan dipertingkatkan kerjasama serantau. Kerjasama dalam kalangan kerajaan, syarikat perniagaan dan ahli akademik juga, katanya, perlu dipertingkatkan untuk membina keupayaan sumber manusia secara lebih berkesan.

0 ulasan:
Catat Ulasan