Jumaat, 17 September 2010

'Friendly contest', elak suasana tegang - Zaid

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Datuk Zaid Ibrahim berpesan kepada semua ahli parti yang bertanding di dalam pemilihan kali ini agar tidak keterlaluan dalam berkempen sehingga boleh menyebabkan suasana tegang.

"Semua orang (ada) berkata, yang hendak bertanding dalam pemilihan kali ini, janganlah sampai menyusahkan parti. Jadi kalau kita tunjuk sangat kita kuat, kita tunjuk kita punya 'geng', ini akan merumitkan penyatuan, " kata Zaid selepas menyampaikan syarahan dalam satu program jatidiri sempena Hari Malaysia di Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI) di Cheras, petang semalam.

Ketika ditanya mengenai pembentukan pasukan dan sokongan secara terbuka di dalam kempen pemilihan Zaid menjelaskan ianya tidak bersalahan dengan konsep kebebasan bersuara dan prinsip demokrasi di dalam KEADILAN kerana baginya semua pihak mempunyai hak.

"Bagi saya, perlawanan ini adalah biasa, yang diadakan tiga tahun sekali. Perbuatan membawa sokongan ini akan membawa 'tension' (ketegangan)," katanya.

Zaid yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan menjelaskan beliau mengambil sikap terbuka kepada akar umbi parti di Wilayah Persekutuan untuk menentukan pimpinan mereka samada pada peringkat Cabang atau Pusat.

Katanya lagi, beliau tidak boleh mengkritik cara sesetengah pihak berkempen, kerana setiap pihak mempunyai kaedah mereka sendiri.

"Saya rasa, eloklah kita bertanding secara 'friendly contest' (persaingan setiakawan)," tambah Zaid.

0 ulasan: