Ahad, 19 September 2010

Pembunuhan kejam Sosilawati: Penduduk Orang Asli rasa tertipu

BERITA HARIAN ONLINE

BANTING: Ketika ramai pihak mendakwa menjadi mangsa penipuan kepada suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Cheeding, kira-kira 25 kilometer dari pekan Banting, turut rasa terkilan dan tertipu dengan imej dermawan suspek yang juga seorang peguam itu membantu mereka.

Malah jika personaliti sebenar suspek pembunuhan kejam itu diketahui, tidak mungkin mereka sudi menerima sumbangan Datuk itu.

Suri rumah, Zaimah Lebih, 41, ketika ditemuinya di Kampung Bukit Cheeding berkata, beliau berasa terkejut dengan pendedahan media itu.

“Hati rasa tak tenang,” katanya sambil meraut lidi di pangkin rumahnya sambil dikerumuni anak-anak kecil petang semalam.

Zaimah adalah antara keluarga Orang Asli yang menerima sumbangan beg sekolah pada majlis sumbangan ditaja suspek sebelum ini.

“Kalau tahu, tak mungkin kakak bagi anak terima beg sekolah warna biru itu,” katanya merujuk anak ketiganya, Zariah, 9, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Cheeding.

Pengawal keselamatan di Kampung Bukit Cheeding, Isak Pahat, 34, berkata beliau tidak menyangka suspek kelihatan seperti orang baik sanggup bertindak demikian.

“Saya terima beg dan kasut sekolah. Kalau tahu dia begitu, salam pun tak mahu,” katanya turut bersimpati dengan keluarga mangsa.

0 ulasan: