
Ibrahim: Jika ia kenyataan peribadi, adakah ia bermakna Tengku Adnan mengatasi kedudukan Majlis Tertinggi Umno.
Presiden Perkasa itu berkata lazimnya isu yang dibincang dan diputuskan oleh MT Umno akan diumumkan oleh Presiden Umno dan oleh itu, kini timbul keraguan sama ada Setiausaha Agung Umno itu seiring dengan pendirian parti ataupun sebaliknya.
“Jika ia kenyataan peribadi, adakah ia bermakna Tengku Adnan mengatasi kedudukan Majlis Tertinggi Umno,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini pada sidang media di rumahnya di sini hari ini.
Reaksi ketiga dalam seminggu ini muncul ketika pemimpin-pemimpin Umno dan komponen BN yang lain mempertikaikan Perkasa dan secara terbuka meluahkan ‘protes’ terhadap hala tuju perjuangannya yang dilihat akan menghakis sokongan kepada BN.
Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider Selasa lalu, Tengku Adnan menegaskan, partinya tidak akan menyokong Ibrahim jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas.
Sebaliknya kata beliau, Umno akan meletakkan calonnya seperti yang dilakukan masa-masa lalu di kawasan Parlimen Pasir Mas, Kelantan.
Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa Umno menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan Perkasa pimpinan Ibrahim.
Perkasa ditubuhkan dua tahun lalu, selepas pilihan raya umum Mac 2008.
“Mengapa Umno harus sokong dia? Umno patut meletakkan calon di Pasir Mas. Kami akan bertanding di Pasir Mas,” kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN.
Ibrahim yang dipecat dari Umno pada 2004 memenangi kerusi Parlimen pada 8 Mac 2008 menggunakan lambang PAS.
“Sebagai Setiausaha Agung (Umno) saya boleh memberitahu anda, kami tiada apa-apa kaitan dengan Perkasa dan sesetengah perkara yang dilakukan oleh Perkasa, kami tidak gembira kerana mereka menghakis sokongan kepada kami,” kata Tengku Adnan apabila diajukan soalan bahawa kebanyakan ahli Perkasa adalah dari Umno.
“Apabila mereka bercakap mengenai kawan-kawan saya kalangan Cina atau kawan saya orang India, mereka menyebabkan kami kehilangan lebih banyak undi,” katanya lagi.
Sebelum ini Perkasa pernah mengatakan bahawa sesiapa yang memusuhi pertubuhan ini tidak akan menerima sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.
Ibrahim berkata, Perkasa tidak pernah menghantar sebarang surat kepada Tengku Adnan meminta sokongan beliau.
Katanya, kenyataan Tengku Adnan hanya bertujuan menyedapkan parti-parti komponen BN dan membuang kebimbangan mereka.
“Saya gembira saya boleh membantu beberapa parti,” katanya.
Sehubungan itu, Ibrahim menyindir sekiranya tiga “pembantu Najib” iaitu Tengku Adnan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin - boleh membantu kemenangan BN, beliau mengalu-alukan semua bentuk serangan sebagai satu “pengorbanan” kepada negara.
“Tengku Adnan, Nazri dan Khairy mesti cukup kuat untuk menang.... malah Perkasa boleh bersembunyi di hutan,” serang Ibrahim.
“Saya berharap mereka gembira dan dengan itu, saya berharap BN akan memperoleh majoriti dua pertiga (di Parlimen) dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya lagi.

0 ulasan:
Catat Ulasan