
Orang ramai boleh membantu pihak berkuasa menangkap pengguna jalan raya yang biadap.
SABAN tahun, setiap kali tiba musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri pastinya mendebarkan pihak berkuasa lebih-lebih lagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Mereka mungkin terpaksa mencongak-congak berapa banyakkah kemalangan jalan raya sama sebelum, semasa atau selepas penghuni kota khasnya pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Lebaran.
Pelbagai cara dan kaedah dirancang serta dilaksanakan bagi membendung selain mengurangkan kemalangan jalan raya termasuk yang maut di musim perayaan.
Aidilfitri sepatutnya menjadi hari umat Islam bergembira tetapi sedikit sebanyak dicacatkan oleh kealpaan pengguna jalan raya.
Statistik Ops Sikap ke-20 sempena Aidilfitri pada tahun lalu mencatatkan peningkatan kematian sebanyak 57 berbanding Ops Sikap ke-17 pada tahun sebelumnya sebanyak 208 orang.
Kadar kemalangan meningkat sebanyak 1,339 manakala kemalangan maut pula naik sebanyak 55 menjadikannya 241 mangsa pada tahun 2009.
Melihatkan angka-angka yang membimbangkan itu, JPJ telah mengenal pasti laluan “sakaratulmaut” dalam usaha membendung kemalangan jalan raya di negara ini dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi memudahkan pemantauan secara lebih berkesan.
Pemutihan laluan maut
Pada musim Aidilfitri kali ini, matlamat JPJ ialah untuk “memutihkan” 202 jalan ‘sakaratulmaut’ di seluruh negara sepanjang Ops Sikap ke-22 bermula 3 hingga 17 Sepetember ini.

Solah Mat Hassan. - Foto THE STAR Oleh M. AZHAR ARIF
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, pihaknya akan mengerahkan 4,500 anggotanya berseragam dan berpakaian preman untuk melakukan penyamaran bagi menahan mereka yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Katanya, orang ramai turut diajak menjadi ‘mata dan telinga’ JPJ untuk melaporkan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik.
“Kita hendak mewujudkan fear factor kepada mereka yang cenderung untuk melakukan kesalahan terutama di jalan-jalan maut tersebut.
“Kita nak menyemai persepsi bahawa risiko mereka ditangkap adalah lebih tinggi dengan kehadiran anggota JPJ dan orang awam yang bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ JPJ,” katanya kepada Mingguan mStar baru-baru ini
Solah menjelaskan, orang awam boleh membantu anggota-anggotanya menjalankan penguatkuasaan dengan mengambil gambar foto mereka yang melanggar peraturan jalan raya.

Kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa tahap kehausan bunga tayar menggunakan sejenis alat PCL 'Air Technology' sempena Operasi Musim Perayaan Aidilfitri 2010 di Konsortium Transnasional Berhad Depoh Kajang di Sungai Chua, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Ambil gambar
Dalam pada itu, Solah menasihatkan mereka supaya jangan ‘cepat naik angin’ sekiranya pengguna jalan raya lain melakukan kesalahan secara sewenang-wenangnya.
Katanya, konfrontasi dengan pesalah tersebut mungkin mengundang insiden tidak diingin termasuk bergaduh.
“Anda cuma perlu ambil gambar pengguna jalan raya yang memotong di garisan kembar, memotong kenderaan dari sebelah kiri, memandu di lorong kecemasan, langgar lampu merah dan menggunakan telefon bimbit.
“Itu yang kita marah sangat. Biar mereka rasakan peritnya membayar saman maksimum RM300. Tiada diskaun. Jangan pujuk rayu,” tegasnya.
Ini kerana, Solah berkata, perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyebabkan kemalangan jalan raya, bahkan kesesakan jalan raya.
Solah meminta orang ramai mengirimkan foto tersebut kepada JPJ menerusi e-mel di alamat aduantrafik@jpj.gov.my .
Katanya, pengadu perlu menyatakan jenis kesalahan, tarikh, tempat dan masa supaya tindakan susulan boleh dilakukan.
Beliau turut menasihatkan pengadu supaya mengambil gambar kenderaan si pesalah bersama kenderaan lain untuk memastikan ia menjadi bukti terbaik untuk pendakwaan.
“Kalau dia potong kenderaan (dari sebelah kiri) misalnya, mesti ada satu kereta lain. Pesalah terbabit akan tanya kenderaan apa yang dia potong apabila tampil di pejabat JPJ untuk mematuhi notis temu siasat yang dikirimkan kepada mereka,” jelas beliau.
Notis temu siasat ialah notis JPJ yang dikemukakan kepada pemilik kenderaan yang dirakam melakukan kesalahan jalan raya supaya tampil di pejabat JPJ berdekatan bagi membantu siasatan.
Pesalah diwajibkan hadir dalam tempoh dua minggu dari tarikh notis tersebut dikeluarkan oleh JPJ.
Pada Hari Raya tahun lalu, Solah yang pulang beraya di kampung halamannya di Terengganu telah merakamkan lebih 100 kesalahan lalu lintas oleh pengguna sepanjang perjalanannya pulang ke Kuala Lumpur.
Sebanyak 76 kes berjaya dibuktikan hasil foto rakaman beliau sendiri.
Solah menegaskan, beliau tidak akan teragak-agak berbuat demikian sekali lagi untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
Katanya, ekoran penyiaran berita itu, dia telah mendapat pujian daripada rakan sejawat dari Kementerian Pengangkutan Britain sewaktu mengadakan lawatan ke negara tersebut.
“Saya beritahu mereka itu mungkin satu cara ‘kejam’ tetapi saya terpaksa lakukannya. Niat saya cuma menyelamatkan nyawa dengan apa cara sekali pun,” jelasnya.

0 ulasan:
Catat Ulasan