KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah membentangkan laporan separuh penggal menjadi Ahli Parlimen - dipercayai wakil rakyat pertama mengambil pendekatan sedemikian dengan meletakkan harapan agar Barisan Nasional (BN) melipatgandakan program memenangi hati pengundi muda.
“Pihak yang berjaya meraih sokongan pengundi muda dalam pilihan raya umum ke-13 akan memenangi pilihan raya umum.
“Oleh itu, BN perlu melipatgandakan program-program memenangi hati pengundi muda.
“Satu daripada langkah utamanya ialah dengan melaksanakan resolusi-resolusi Makmal Pemuda BN yang diadakan baru-baru ini,” kata beliau dalam satu kenyataan media sempena pembentangan laporan beliau kepada pengundi kawasannya hari ini.
Saifuddin yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata antara realiti politik hari ini ialah kebangkitan pengundi muda.
“Jumlah pengundi muda berumur 21 hingga 35 tahun dijangka menjadi kuasa penentu pada pilihan raya umum ke-13 iaitu seramai 7.36 juta orang atau 49.7 peratus daripada pemilih. Ini lebih besar daripada 40 peratus pada pilihan raya umum ke-12.
“Justeru, BN perlu memahami partisipasi politik kumpulan ini,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.
Menurut Saifuddin, hubungan pengundi muda dan politik yang bersifat multidimensi dan parti-parti politik perlu memahami keadaan sosial dan politik semasa dan setempat serta pandangan pengundi muda terhadap politik.
“Bentuk, makna dan alasan pengundi muda untuk berpartisipasi dalam politik.
“Kita perlu memahami cara pengundi muda berpartisipasi dengan aktif dalam politik dan bagaimanakah mereka menilai pelbagai bentuk partisipasi politik,” katanya.
Selain itu kata beliau, BN juga perlu mengenal pasti bagaimana pengundi muda belajar tentang partisipasi politik.
“Kita perlu memahami peranan dan keberkesanan ibu bapa, rakan sebaya dan pendidikan formal terhadap partisipasi politiknya,” kata beliau lagi.
Selain itu, katanya, dari segi kesaksamaan gender iaitu dari segi partisipasi pengundi muda wanita, BN perlu memahami kefahaman dan amalan politik pengundi muda wanita untuk melihat persamaam atau perbezaannya daripada pengundi muda lelaki.
Esok genap separuh penggal bagi 217 ahli Parlimen. Baki empat wakil rakyat iaitu mereka dari bahagian Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor dan Sibu dipilih menerusi pilihan raya kecil.
Pilihan raya umum diadakan 8 Mac 2008 dengan BN memenangi 140 kerusi.
“Sempena dengan itu, saya membentangkan Kad Laporan Separuh Penggal Ahli Parlimen Temerloh,” kata Saifuddin sambil menjelaskan beliau menggariskan kerja-kerja yang telah telah dilaksanakannya dalam tempoh tersebut.
Ia adalah kad laporannya yang ketiga iaitu selepas kad laporan setahun dan dua tahun sebagai Ahli Parlimen Temerloh.
Laporan hari ini dibentangkan dalam persidangan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT) Keempat, bertujuan untuk muhasabah dan penilaian secara objektif tentang kerja-kerjanya sejak Mac 2008.
“Saya mengalu-alukan apa-apa maklum balas daripada semua pihak, terutamanya para pengundi dan penduduk kawasan parlimen Temerloh.
“Maklum balas boleh disampaikan kepada saya melalui persidangan MPPT, perwakilan MPPT, pemimpin-pemimpin tempatan daripada pelbagai sektor atau secara langsung kepada saya, sama ada melalui pertemuan atau facebook/fan page (saifuddin abdullah), twitter (saifuddinabd) dan emel saya (saifuddin61@yahoo.com),” katanya lagi.
Kata Saifuddin sejak dipilih sebagai wakil rakyat pada beliau telah memberikan fokus kepada enam bidang pembangunan tumpuan sebagai satu daripada kaedah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk kawasan ini.
Bidang-bidang itu ialah pendidikan dan latihan, kesihatan, kecergasan dan kebajikan, pekerjaan dan ekonomi, jati diri, sosiobudaya dan bina insan, partisipasi dan masyarakat sivil serta prasarana dan kemudahan awam.
Di samping itu kata beliau, beliau telah melancarkan Bidang Keberhasilan Utama Temerloh (TKRA) di persidangan MPPT Ketiga pada 6 Mac lalu.
Ia adalah terjemahan kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). TKRA terdiri daripada 6 perkara iaitu: mengurangkan jenayah; membanteras rasuah; mempertingkatkan pencapaian pendidikan; mempertingkatkan taraf kehidupan isirumah berpendapatan rendah; mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar; dan memperbaiki pengangkutan awam Bandar.

10 ulasan:
Undi orang muda boleh menentukan kemenangan sesuatu parti.
rata-rata golongan muda bukan penyokong kepada mana-mana parti. maka, tidak mustahil golongan ini menjadi penentu dalam PRU kelak.
Bagi memenangi hati pengundi muda, BN tidak mempunyai masa tetapi sebaliknya perlu mempunyai rancangan drastik untuk bersaing dengan pembangkang yang sekarang ini dilihat giat mendekati golongan muda. selain itu pemimpin juga perlu menyelami kebimbangan golongan muda ini dengan memenuhi keperluan mereka dari segi pendidikan, pekerjaan, keselamatan, kualiti hidup yang lebih baik dan urus tabir yang cekap.
Sudah sampai masanya agar pendapat yang muda didengari demi untuk pembaharuan negara.
saya harap kesedaran tentang pentingnya sokongan pengundi muda ini sebagai penentu kemenangan dalam pilihan raya akan datang, akan dapat menggerakkan pemimpin2 untuk melakukan persediaan awal dan jangan sesekali mengabaikan golongan muda ini dalam apa jua dasar dan perancangan kerajaan..
BN jangan anggap kejayaan berada ditangan mereka. Sekiranya pengundi Muda lari dari semua maka sangat tipislah peluang untuk menang. Oleh itu fikirkan cara untuk menambathati pengundi muda untuk kejayaan.
pengundi muda kebanyakannya tidak memihak kepada mana-mana parti.untuk memenangi golongan muda BN perlulah melibatkan golongan ini dengan pelbagai program.
pengundi muda memainkan peranan penting dalam menentukan arah tuju politik negara, mereka ini juga perlu diberi keutamaan.
Usaha yang bijak :) Orang muda memang harus diutamakan kerana merekalah bakal penerus generasi Malaysia :)
Betul eika. Melalui program yang dibuat, saya yakin golongan muda akan lebih faham tentang arena politik dan hala tuju kepimpinan BN. So bila dah dah kenal, senanglah jatuh cinta kan. hehehe
Catat Ulasan