Rabu, 8 September 2010

Setiausaha agung komponen BN bincang strategi pilihan raya hari ini



Tengku Adnan sewaktu temu bual dengan The Malaysian Insider. - Gambar oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR — Barisan Nasional (BN) mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan strategi menghadapi pilihan raya di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum ke-13 kemungkinan dipanggil menjelang pertengahan tahun depan.

“Kita akan adakan mesyuarat esok (hari ini), saya akan mempengerusikan mesyuarat pertama dengan kesemua komponen saya (BN), dengan kesemua setiausaha agung... membincangkan soal pendaftaran pengundi, beberapa strategi, yang asasnnya untuk... (memperkukuhkan BN),” kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam temu bual eksklusif dengan The Malaysian Insider di pejabatnya di sini.

“... kami bukan sahaja akan membincangkan soal pendaftaran pemilih baru, kami juga akan membincangkan mengenai masalah-masalah dihadapi oleh parti komponen dan strategi bagaimana menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Mandat kerajaan negeri Sarawak berakhir Julai depan manakala mandat bagi negeri-negeri lain dan Parlimen pula Mei 2013.

Dari segi pendaftaran pemilih baru komponen BN masih di belakang berbanding anggota Pakatan Rakyat. Umno mendepani komponen BN manakala DAP pula mengatasi PKR dan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Mengikut pecahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya minggu lalu, pada Julai lalu Umno mendaftar 7,230 pengundi baru, MCA (455), MIC (18), Gerakan (83), DAP (9,106), PAS (3,961), PKR (1,749), PPP (98), PBS (225), SAPP (20), LDP (68), PBB (303), SUPP (490), SPDP (93), dan PRS (12).

Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, DAP telah mendaftarkan 55,321 pengundi berbanding Umno 54,872.

MCA pula mendaftarkan 2,917 pengundi baru antara Januari dan Jun lalu, MIC (1,109), Gerakan (476), PAS (36,618), PKR (13,098), PPP (empat), PBS (686), SAPP (218), Upko (241), LDP (37), PBB (649), SUPP (972), SPDP (435), PRS (191) dan SNAP (enam).

Desas-desus menyebut pilihan raya negeri Sarawak kemungkinan diadakan selepas sambutan Aidilfitri manakala pilihan raya umum suku kedua tahun depan, tertakluk kepada prestasi di Sarawak.

Bagaimanapun spekulasi lain pula menyebut BN kemungkinan memanggil kedua-dua pilihan raya negeri Sarawak dan umum pusat serentak tahun depan.

Laporan Economist Intelligence Unit (EIU) minggu lalu menyebut kerajaan BN yang mengetuai kerajaan pusat sejak lima dekad lalu tidak mungkin akan memanggil pilihan raya umum ke-13 sebelum 2012 meskipun banyak pihak membuat spekulasi pilihan raya umum tergempar.

EIU berpendapat meskipun prestasi yang lebih baik akan memperkukuhkan mandat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, keputusan pilihan-pilihan raya kecil baru-baru ini menunjukkan pengundi menjadi semakin “mudah berubah hati” khususnya di kalangan pengundi bukan Melayu.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider awal bulan lalu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tidak menjangkakan pilihan raya umum lebih awal sebelum 2012.

The Malaysian Insider difahamkan sebahagian pemimpin Umno dan sesetengah komponen BN juga tidak mahu Najib memanggil pilihan raya awal.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno sambil mengakui beberapa komponen BN berhadapan dengan masalah yakin bahawa kekurangan-kekurangan itu boleh diatasi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Kata beliau, BN tidak boleh berkuasa dengan hanya sokongan kira-kira enam juta ahli parti komponennya termasuk sekitar 3.4 juta dari Umno.

Berdasarkan daftar pemilih terbaru negara mempunyai 11,381,193 pengundi sah.

“Kami memerlukan sokongan rakyat,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya.

“Kami ada kekurangan tetapi kekurangan ini boleh diatasi... rakyat mengutarakan pandangan apa yang mereka suka dan tidak suka (mengenai BN). Kami sedia mengatasi, kami ini bukan parti yang amalkan sistem autoritarian, komunis, sistem di mana hanya seorang individu yang berkuasa.

“BN adalah parti politik yang mempunyai komponen kecil dan besar tetapi dengan perwakilan yang sama dalam BN,” katanya lagi.

BN kini mempunyai 13 komponen selepas Parti Progresif Sabah (Sapp) keluar akhir 2008.

10 ulasan:

mike berkata...

BN haruslah merancang strategi yang berkesan bagi menghadapi pilihanraya akan datang..

mike berkata...

PR kini rancak menggerakkan jenteranya untuk meraih sokongan pengundi muda. BN harus melihat perkembangan ini dengan lebih serius kerana BN bukan lagi dalam zon selesa.

supra berkata...

perancangan yang baik perlu ada jika nak memenangi pilihanraya.

Mambang berkata...

fenomena pengundi untuk parti komponen BN yang semakin lama semakin berada di paras membimbangkan menunjukkan jentera-jentera BN harus berwaspada dan bersiap sedia dan tidak boleh leka

jieah berkata...

BN perlu merancang strategi untuk menghadapi PRU. tetapi yang lebih penting adalah perlaksanaan strategi yang dirancang..

Mambang berkata...

saya lihat, rakyat sudah bosan dengan jentera-jentera BN yang sudah lapok tak pandai buat kerja. semakin lama undi terhadap BN semakin berkurang sebab banyak jentera-jentera BN sekadar suka cakap kosong dengan air liur tetapi kerja takdak..sedangkan parti bertentangan yang tahu kelemahan BN sudah memasang strategi untuk memancing pengundi.

Jonny berkata...

Diharapkan persaingan bila PRU-13 nanti boleh berjalan secara adil dan bersih. Selamat berjuang.

maxi shenzi berkata...

rasanya rakyat sudah berulang kali mengutarakan apa yang mereka tidak suka mengenai BN. fahami kebimbangan serta tuntutan rakyat dan berusaha memperbetulkannya, pasti selepas ini sokongan akan memihak kepada BN.

Paquin berkata...

Rancanglah strategi sebaik mungkin bagi memastikan BN terus kukuh di hati rakyat :)

Paquin berkata...

Dekati rakyat dan selami keinginan mereka. Buktikan pada rakyat BN mampu menjaga kebajikan rakyat sepenuhnya.