BANTING : Pemilik sembilan anjing berbaka yang mengawasi sekitar Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini, lokasi pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya wajar dikenakan kompaun lantaran lalai dalam menjaga haiwan peliharaan.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata haiwan berkenaan tidak seharusnya dibunuh sebaliknya ditangkap dan diberi ubat pelali dos rendah seterusnya dihantar ke pusat perlindungan haiwan.
Beliau kesal kerana haiwan berkenaan disuntik ubat pelali berdos tinggi yang menyebabkan kematian yang dipercayai dilakukan anggota polis dan penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).
Sehubungan itu, beliau dalam kenyataan media, berkata satu garis panduan meliputi haiwan peliharaan lain untuk menangani situasi ini akan dikeluarkan dalam masa dua minggu lagi untuk diguna pakai di Selangor.
“Garis panduan itu akan memastikan tiada lagi ‘pembunuhan’ kejam berlaku sekali gus mengelak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pihak tertentu,” katanya.
Difahamkan, haiwan peliharaan itu diberi pelali berdos tinggi bagi memudahkan proses kes berkenaan.
Beliau berharap kejadian pembunuhan haiwan harus diberi perhatian supaya ia tidak berulang pada masa depan. Sebelum ini, Sosilawati dan tiga individu lain dipukul sampai mati dan
mayat mereka dipercayai dibakar sebelum abunya dibuang ke sungai berkedekatan. Kes berkenaan dianggap berprofil tinggi dan menggemparkan negara.

0 ulasan:
Catat Ulasan