Rabu, 15 September 2010

Sosilawati mahu serah perniagaan kepada anak-anak

SINAR HARIAN ONLINE

SHAH ALAM – “Saya mahu serah syarikat Nouvelle Beauty kepada anak sebab kita tidak tahu apa yang akan terjadi selepas ini (ajal),” itu sebahagian kata-kata Datuk Sosilawati Lawiya ketika dihubungi rakannya sebelum dilaporkan hilang, 30 Ogos lalu.

Menurut rakannya yang juga Pengarah Urusan Jun Hair & Beauty (M) Sdn Bhd, Junaidah Kitting, beliau yang menghubungi Sosilawati tiga hari sebelum jutawan kosmetik itu dilaporkan hilang namun beliau masih tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk berlaku.

Katanya, Sosilawati tidak menunjukkan tanda-tanda pelik sebaliknya bersikap periang dan peramah seperti kebiasaannya.

“Kami sudah berkawan sejak 17 tahun yang lalu dan sering berhubung dengannya untuk bertanya khabar walaupun jarang berjumpa kerana kesibukan tugas.

“Bila berjumpa, kami lebih banyak bercerita tentang hal keluarga saja berbanding perniagaannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, beliau ada mendengar rakan karibnya sedang menguruskan hal pembelian tanah sebelum Ramadan, namun tidak bertanya lanjut mengenainya.

“Kami sekeluarga berasa sedih dengan pemergiannya dan bersimpati dengan nasib anaknya yang kehilangan ibu semasa menyambut Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, rakan niaga yang juga Pengarah Urusan D’Navechee Beauty (M) Sdn Bhd, Datuk Azlina Che Abdullah menyifatkan pemergian Sosilawati sebagai kehilangan besar kerana beliau adalah tokoh wanita berjaya dan dicontohi.

Katanya, selepas berita kehilangan Sosilawati tersiar, beliau cuba menghubungi jutawan kosmetik itu berkali-kali, namun tiada jawapan.

“Selalunya, bila panggilan tidak dijawab, beliau (Sosilawati) akan menelefon semula, namun keadaan itu tidak berlaku.

“Takziah diucapkan kepada ahli keluarga Sosilawati,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, sebagai rakan niaga yang pernah menjalinkan kerjasama dengan Allahyarham Sosilawati, kehilangannya amat dirasai.

"Negara kehilangan tokoh usahawan wanita yang cekal dan seorang wanita yang bersikap dermawan," katanya.

Seorang lagi rakan karib Sosilawati, Hashim Anang berkata, sukar untuk menerima hakikat Sosilawati sudah tiada tetapi paling terkilan apabila kematiannya begitu tragik.

"Beliau seorang yang merendah diri, sudi berkongsi ilmu kejayaannya melalui bengkel-bengkel bersama ibu tunggal dan seorang yang dermawan membantu rumah-rumah kebajikan dan anak yatim," katanya yang bertugas sebagai Pengurus Perhubungan Awam Kumpulan Media Karangkraf,

0 ulasan: