Ini kerana katanya, kajian terperinci perlu dilakukan memandangkan terdapat kebaikan dan keburukan jika umur pesaraan dinaikkan lagi.
“Jika kita terus melanjutkkan tempoh perkhidmatan golongan berusia, generasi muda tidak akan dapat peluang bekerja,” Subramaniam berkata kepada Bernama di luar Mesyuarat Pembangunan Sumber Manusia Peringkat Menteri kelima Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di sini.
Persidangan dua hari itu berakhir semalam. Selain itu katanya, adalah sukar untuk kerajaan menaikkan umur pesaraan dan pada masa yang sama mengecilkan saiz sektor tersebut yang sehingga kini mempunyai sekitar 1.2 juta tenaga kerja.
Jumlah itu adalah tinggi berbanding negara-negara lain dan sebahagian besar adalah dalam bidang perguruan, kata beliau.
Pada 2008, kerajaan telah menaikkan umur pesaraan sektor awam daripada 56 kepada 58 dan Cuepacs kini mencadangkan agar ianya dinaikkan kepada 60 tahun selaras dengan amalan negara-negara serantau.
Umur pesaraan bagi penjawat awam di Thailand, Brunei dan Indonesia ialah 60, manakala di Singapura 62 tahun.
Bagaimanapun kata Subramaniam, kerajaan tidak menghalang jika syarikat swasta mahu membenarkan pekerja mereka bekerja sehingga berusia 60 tahun.
“Walaupun kebiasaannya pekerja sektor swasta bersara pada umur 55 tahun, kita memberi mereka (kesatuan) kebebasan untuk berunding dengan majikan bagi melanjutkan umur pesaraan,” katanya.
Beliau memberi contoh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE)yang berjaya dalam rundingan bersama CIMB Bank untuk melanjutkan umur pesaraan kakitangannya daripada 55 kepada 60 tahun.

0 ulasan:
Catat Ulasan