Sabtu, 16 Oktober 2010

215 ahli PKR keluar parti, betul ke?

WARKAH DAILY
WarkahDaily - Mungkin modus operandi yang sama kot. Bila dah dekat-dekat pilihanraya ni, dah jadi kebiasaan puak-puak Umno lakukan benda yang sama seperti musim pilihanraya yang lepas-lepas.

Bila tiba aje musim pilihanraya, takdak benda lain, pasti ada aje berita ahli-ahli dari Pakatan Rakyat (PR) akan masuk Umno-BN.

Nak kata betul ke tidak, belum lagi dapat dipastikan, cuma setakat hari ini, banyak berita-berita kemasukan Umno tu adalah gimik semata-mata, bahkan pembohongan yang nyata.

Kalau ada pun, pasti yang dah kena tindakan tata tertib, yang kena tindakan, yang dah dipecat, yang bermasalah dan sebagainya. Itu pun sebab keahlian telah digantung. Namun tidak dinafikan juga ada segelintirnya yang betul tapi dengan nisbah yang kecil dah tidak memberi kesan apa-apa kepada PR.

Namun begitu, kepada PKR yang berhadapan berita keluar parti ini perlulah bertindak apakah ianya betul atau tidak. Sebab takut taktik Umno-BN ini akan memberi kesan buruk kepada rakyat terhadap PR.

Sinar Harian - 215 ahli PKR keluar parti

KUANTAN: 215 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ranting Lepar Utara 1 di sini yang tidak yakin dan kecewa dengan kepimpinan parti tersebut membuat keputusan untuk keluar parti seterusnya menyertai UMNO.

Borang keahlian UMNO itu diserahkan Timbalan Ketua Rantingnya, Abdul Rahim Anjang Darus kepada Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman di Pejabat UMNO Bahagian Paya Besar, semalam.

Ahmad Tajuddin menyifatkan penyerahan borang UMNO itu sebagai satu langkah bijak oleh ahli PKR ini memandangkan mereka sudah tidak percaya dengan pelbagai kepincangan telah berlaku sepanjang mereka bergelar ahli di Ranting tersebut.

Menurutnya, mereka ini yang dahulunya merupakan ahli UMNO yang telah berubah sejak dari Pilihan Raya Umum 2008 lalu yang kononnya mengharapkan keajaiban daripada parti PKR ini untuk membela mereka.

“Ia berpunca daripada kekeliruan yang berlaku pada PRU12 dahulu apabila pihak PKR ini hanya tahu menabur janji semata-mata menyebabkan mereka mengharap yang terbaik, sedangkan UMNO adalah yang terbaik untuk mereka.

“Disebabkan itu, mereka mula melihat ada satu kuasa peribadi yang ada dalam PKR tersebut dan tidak menjanjikan apa-apa kebaikan untuk mereka, hanya kepentingan individu tertentu semata-mata,” katanya.

Menurutnya, kelompok berkenaan sangsi dengan kebolehan PKR untuk mentadbir negara yang mencetuskan pelbagai ‘tsunami’ di peringkat dalaman.

Sementara itu, kesemua ahli UMNO yang baru ini akan didaftarkan kepada Cawangan Lepar Utara 1 Bandar A.

Bagi Shamsuddin Md Hassan berkata, pihaknya sudah kecewa dengan kepimpinan PKR yang tidak mempunyai hala tuju yang sewajarnya.

Menurutnya, ketua yang mengasaskan PKR di Lepar Utara 1 ini sudah tidak bersama mereka lagi dan menyertai ranting lain menyebabkan kesemua ahli seolah-olah menjadi huru-hara.

“Pengasas sendiri sudah tidak bersama kami lagi, jadi apa faedah yang kami tunggu lagi untuk mengharap sesuatu yang tidak pasti.

“Oleh itu, wajarlah kami membubarkan ranting ini dan menyertai UMNO yang mana mempunyai masa depan yang kukuh mempertahan orang-orang Melayu khususnya di kawasan Felda ini,” katanya.

Seterusnya, beliau menyifatkan pembubaran ranting ini sememangnya atas dasar kecewa mereka kepada PKR yang dilihat sebagai tidak relevan untuk mereka lagi.

Sementara itu, Ketua PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya tidak boleh memastikan lagi mereka yang keluar parti tersebut benar-benar ahli PKR.

“Saya tidak dapat komen lebih-lebih lagi sekarang ini, memandangkan pihak kami perlu meneliti nama-nama yang keluar ini sama ada mereka benar-benar ahli PKR ataupun sekadar retorik politik UMNO semata-mata.

“Saya tidak melihat kepincangan yang berlaku dalam PKR ini dan untuk mengetahui kebenarannya nanti, kita tunggu dan lihat pada PRU 13 nanti, dari situ kita tahu apa kehendak rakyat bukan seperti provokasi yang berlaku seperti hari ini,” katanya.

0 ulasan: