Jumaat, 15 Oktober 2010

300 Pemuda PAS, aktivis Islam bantah konsert Adam Lambert

KUALA LUMPUR – Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli Pemuda PAS dan aktivis Islam mengadakan demonstrasi aman di pekarangan Stadium Putra, Bukit Jalil di sini membantah konsert artis Adam Lambert.

Bantahan diadakan di pekarangan Stadium Putra bermula pukul 8.30 malam.

Mereka terlebih dahulu menunaikan solat Maghrib dan solat hajat di surau berhampiran sebelum berarak ke stadium pada pukul 7.45 malam.

Sepanjang berarak mereka melaungkan takbir dan membawa kain rentang yang membantah penganjuran konsert Adam Lambert.

Antara kain rentang yang dibawa adalah seperti “Mahasiswa Islam Tolak Gay”, “Kami Bantah Konsert Adam”, “Ambil Iktibar Sirah Kaum Nabi Luth” dan “Mahasiswa Islam Membantah Adam Lambert”.

Peserta demonstrasi turut mengedarkan risalah kepada pengunjung-pengunjung yang hadir untuk menyaksikan konsert tersebut.

Walaupun tidak dibenarkan memasuki ke dalam stadium, namun pihak penganjur Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara membenarkan lima wakil mahasiswa untuk untuk menjadi pemerhati sepanjang konsert itu berjalan.

Konsert tersebut dijangka akan berakhir kira-kira 11 malam ini.

Adam Lambert, 28, merupakan penyanyi pop, penulis lirik dan pelakon daripada California.

Album bekas peserta American Idol itu For Your Entertainment pada 2009 terjual sebanyak 198,000 selepas seminggu berada dalam pasaran.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Nasruddin Hassan at-Tantawi, demonstrasi secara aman malam ini bertujuan membantah konsert yang bertentangan dengan norma ketimuran dan ajaran Islam.

“Malam ini kita adakan bantahan dan mengedarkan risalah kepada pengunjung-pengunjung yang hadir ke konsert ini.

“Kita bantah konsert ini kerana ia bertentangan dengan nilai ketimuran selain bertentangan dengan ajaran Islam.

“Adam Lambert adalah seorang penyanyi homoseksual dan kita tidak mahu budaya dan cara hidup liar yang diamalkannya menular di negara kita,” katanya.

Antara aktivis mahasiswa yang menyertai demonstrasi kali ini ialah Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK).

Kehadiran mereka “disambut” kira-kira 30 anggota FRU yang mengawal sekitar pintu masuk stadium bagi mengelakkan kumpulan tersebut menyerbu ke dalam premis itu.

Bagaimanapun tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku apabila mereka mematuhi arahan polis yang tidak membenarkan sebarang poster dan kain rentang dipamerkan terlalu hampir dengan stadium berkenaan.

Kira-kira pukul 9.45 malam, lima wakil mahasiswa yang memasuki stadium keluar dan memberitahu media bahawa daripada aspek pakaian, Adam Lambert didapati tiada masalah.

Bagaimanapun, menurut mereka, penari yang mengiringinya agak seksi.Kesemua aktivis tersebut meninggalkan stadium kira-kira pukul 10.15 malam.

0 ulasan: