HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Oktober 2010

Berkunjung ke Pulau Sakar, Lahad Datu

Rahmat News

MENYEBERANG Teluk Sulu untuk menuju ke Pulau Sakar di daerah Lahad Datu, Sabah mengambil masa lima belas minit menaiki sebuah perahu kayu dimuatkan dengan motor sangkut bertenaga 40 kuda untuk sampai ke Kampong Tanjong Paras.

Pulau Sakar di kelilingi oleh pulau-pulau kecil di gugusan kepulauan-kepulaun KeSultanan Sulu adalah kawasan yang dicita-citakan oleh penulis untuk sampai ke sini lebih dari satu dekad yang lalu semasa pertama kali menjejaki ke daerah Lahad Datu di Pantai Timur Sabah.

(Gambar: Perjalanan menyemberang laut untuk menuju ke Kampong Tanjong Paras, di Pulau Sakar.)

Suku kaum yang pertama kali bertapak di Kampong Tanjong Paras ialah melalui penghijrahan Awang Saat lahir pada tahun 1911 dan meninggal pada tahun 1926. Beliau adalah dari kaum Pabalat berasal dari Kampong Pandan, Sungai Subok di Brunei. Terdapat juga suku kaum Melayu Brunei di Kampong Sim-Sim berhampiran dengan Jambatan-Jambatan nombor Sembilan dan Sepuluh di daerah Sandakan.

Sejumlah 1,000 orang penduduk tinggal dalam tujuh buah kampong iaitu Kampong Tanjong Paras, Kampong Tarwakan, Kampong Trusan Luuk, Kampong Lok Bikin, Kampong Lok Giam, Kampong Tong Batu and Kampong Pu Gitong. Majoriti mereka di sini ialah dari suku-suku kaum Bajau dan Suluk. Mereka berkerja dengan sektor awam dan swasta. Sebilangan lagi berkerja sebagai nelayan.

Setelah berbincang untuk mendapatkan tambang murah dengan menaiki sebuah perahu ke Kampong Tanjong Paras, penulis akhirnya bersetuju membayar RM30.00 kerana pada masa itu penumpang tidak ada untuk pulang ke Kampong Tanjong Paras pada waktu pagi. Penumpang hanya akan ada di terminal seakhirnya pada jam 5:30 petang tertakluk kepada keadaan cuaca.

Melihat suasana di sekeliling Teluk Sulu, penulis berasa hairan dengan sampah sarap yang terapung apung di permukaan air. Suasana yang kurang sihat dengan pencemaran alam. Sesekali perjalanan terhenti disebabkan injin motorsangkut di baluti oleh sampah sarap yang yang terdapat di dalam air.

Tiba di jeti Kampong Tanjong Paras, dari perahu motorsangkut tadi lalu melangkah ke anak tangga dan naik ke atas jeti dengan berjalan beberapa meter jauhnya. Pertama kali yang saya lihat ialah sebuah masjid kayu cat hijau. Di sepanjang persisiran Pulau Sakar terdapat kubur-kubur orang Islam yang tidak mempunyai sistem tempat pengembumian yang baik. Nisan-nisannya diperbuat daripada kayu-kayu keras dan batu bukit yang dilorek.

(Gambar: Pondok tempat naik menuju ke Kampong Tanjong Sakar. Disediakan bagi tempat penduduk turun dan naik apabila waktu air surut)

Sebilangan remaja didapati duduk santai di ruang jeti. “Bos..., Assalamualaikum!", sambil melambai-lambaikan tangan mereka kerarah penulis bertujuan menegur sapa kepada pelawat ke kampong mereka. Penulis balas dengan senyuman dan melambai kembali kepada mereka.

Selepas pertama kali penulis menjejaki kaki ke Kampong Tanjong Paras, pertanyaan pertama bermain di kepala adalah bagaimanakah penduduk kampong ini mendapatkan bekalan air bersih untuk kehidupan seharian mereka. Apakah mereka mempunyai bekalan air telaga?. Bagaimankah jika ianya pada musim kemarau.

Penulis menyusuri lebih jauh ke dalam Kampong Tanjong Paras untuk mendapatkan jawapan yang tersembuyi. Didapati beberapa buah tangki air plastik berwarna biru yang disediakan corong untuk menadah air hujan dari atap-atap sekolah berdekatan. Dengan adanya tangki-tangki air plastik berwarna biru ini tadi berapa banyak air yang boleh bertahan di kampong itu.

Soalan-soalan yang berlegar-legar di kepala tadi akhirnya mendapat jawapan apabila seorang lelaki menghampiri penulis dengan mengenalkan dirinya adalah ketua kampong di kawasan tersebut.

(Gambar: Warga emas menggunakan sampan untuk membuat kerja-kerja seharian dan berkunjung kerumah sanak saudara mereka di Kampong Tanjong Paras)

Abdul Halim bin Oto Jani dari etnik Bajau menceritakan sedikit sebanyak tentang pembangunan di Pulau Sakar sejak dulu lagi. “Kami memerlukan pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk memberikan perhatian terhadap keperluan-keperluan asas sahaja seperti air dengan menyambungkan paip utama dari seberang tanah daerah Lahad Datu dan api letrik yang menggunakan tenaga suria atau kabel dasar laut," katanya.

Sejak kerajaan dari Usno sampai ke hari ini tidak ada pembangunan pesat yang dikecapi oleh penduduk-penduduk di persisiran pantai Pulau Sakar.

“Ada satu kawasan air yang boleh digunakan oleh penduduk di sini apabila musim kemarau, tetapi ianya sangat jauh dan sukar dengan merentas bukit. Lagi pun kalau ada pihak yang berkenaan membina bentung dengan memasang paip air utama ke kampong sini sudah tentu dapat memberikan keselesaan,” jelasnya lagi.

Ada sebuah masjid kayu di Kampong Tanjong Paras tetapi ianya sudah tidak begitu selamat untuk menampung jumlah jemaah semasa menunaikan solat Jumaat, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha dengan penduduknya yang ada pada masa ini.

“Tiang-tiang kayu di bawah masjid tidak tahan lagi untuk menyokong kekuatan sebuah masjid sekarang. Kalau ada arus di bawah air laut ini sudah tentu masjid ini akan roboh pada bila bila masa.

“Sumber-sumber kewangan diperolehi dari mereka yang bersedekah apabila menunaikan solat fardhu Jumaat. Wang inilah digunakan untuk pemuliharaan masjid yang ada pada masa ini,” kata ketua kampong itu lagi.

“Sampah sarap disekeliling Pulau Sakar bukanlah dari pembuangan sampah penduduk-penduduk Kampong Tanjong Paras tetapi dibawa oleh arus dari bandar Lahad Datu,” jawap Ketua Kampong apabila ditanya oleh penulis.

(Gambar: Sampah sarap yang tersadai akibat pembuangan sampah dari Bandar Lahad Datu yang hanyut ke Pulau Sakar.)

Sejam kemudian penulis pulang menaiki perahu yang sama kerana tidak tahan dengan suhu di pulau yang tinggi kerana dikelilingi dengan air laut. Lagi pun cuaca kelihatan gelap hampir hujan.

Bagi penulis, Pulau Sakar ini berpotensi untuk dibangunkan bagi industri pelancongan, perikanan dan bermacam-macam lagi ke arah membangunkan ekonomi penduduk di Kampong Tanjong Paras yang selama ini terpinggir.

Tiada ulasan: