KUALA LUMPUR — Saluran perundangan hanya akan diguna jika kerajaan pusat telah menggunakan semua opsyen yang ada bagi menyelesaikan isu pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dengan kerajaan Selangor.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijai dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata buat masa ini pihaknya masih berusaha menyelesaikan isu tersebut menerusi rundingan selain meneliti opsyen lain.
"Kita tengok dari semua sudut, kalau boleh kita tidak mahu menggunakan saluran undang-undang sebagai cara (penyelesaian)," katanya kepada Bernama, di sini malam tadi.
Beliau yang ditemui selepas rakaman program ''Helo Malaysia'' yang akan disiarkan Bernama TV, mengulas mengenai status projek Langat 2 yang sepatutnya bermula Ogos lepas bagi menampung keperluan air bersih di tiga kawasan iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga tahun 2025.
Pada Ogos lepas, Chin dilapor memberi tempoh sehingga akhir tahun ini kepada kerajaan Selangor yang diteraju pakatan pembangkang untuk memberi persetujuan terhadap pembinaan loji tersebut.
Mengulas lanjut, Chin berkata sebuah jawatankuasa telah diwujudkan di antara kementeriannya yang diketuai Ketua Setiausaha Loo Took Gee dengan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mencari penyelesaian terbaik mengenai projek itu.
Katanya pembinaan loji rawatan air itu harus disegerakan agar ia siap serentak dengan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor pada 2014, bagi membolehkan loji merawat bekalan air mentah dari Sungai Semantan, Pahang.
Projek yang menelan belanja RM8.65 bilion itu telah mendapat persetujuan kerajaan negeri Selangor semasa ditadbir Barisan Nasional (BN), namun ia kini terbantut apabila negeri itu dipimpin pakatan pembangkang.
Kerajaan Selangor pada 6 Oktober lepas mengulangi pendirian bahawa projek itu tidak perlu disegerakan dengan alasan bekalan air untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencukupi sehingga 2019.

0 ulasan:
Catat Ulasan