KUALA LUMPUR — Sebuah Jawatankuasa Penilai bagi teks khutbah Jumaat telah diwujudkan bagi menilai dan menjaga kualiti teks khutbah yang disediakan untuk empat masjid utama di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata empat masjid itu ialah Masjid Negara, Masjid Putra, Masjid Wilayah dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
“Jawatankuasa di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dianggotai panel imam empat masjid utama itu dan ahli jawatankuasa yang dilantik terdiri daripada pengarah-pengarah bahagian di Jakim,” katanya menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Juslie dalam soalannya ingin tahu adakah Jakim mempunyai Jawatankuasa Penilai bagi setiap teks khutbah Jumaat sebelum diedar kepada semua masjid di bawah negeri yang ketua agamanya ialah Yang di-Pertuan Agong.
Jamil Khir berkata Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Melaka mempunyai jawatankuasa tersendiri di bawah Jabatan Agama Islam Negeri yang bertanggungjawab untuk menyediakan teks khutbah dan diedarkan ke masjid-masjid di seluruh negeri.
Menjawab soalan sama ada kerajaan bercadang menggubal satu akta bagi mengawal penyalahgunaan pentas khutbah oleh pihak tidak bertanggungjawab, Jamil Khir berkata akta atau enakmen bersesuaian telah ada di setiap negeri.
“Jabatan Agama Negeri ada peraturan sendiri untuk ambil tindakan ke atas khatib atau imam yang tidak baca ikut teks yang disediakan,” katanya.

0 ulasan:
Catat Ulasan