Selasa, 19 Oktober 2010

Karim Ghani cuba ditarik ke 'Usno 2006'

Jimadie Shah Othman

Ahli politik veteran Sabah yang mengumumkan keluar daripada Umno Datuk Karim Ghani semalam mendedahkan terdapat usaha menjemputnya menyertai sebuah kumpulan yang mahu menghidupkan semula Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) di negeri itu.

"Kelmarin ada orang datang jumpa hendak lantik saya sebagai penasihat Usno," katanya merujuk kepada Usno yang cuba didaftarkan pada 2006 bawah pimpinan presiden penajanya Perais Sherif Baba.

Semalam, Karim, antara orang kuat yang membawa Umno ke Sabah, mengumumkan keluar parti serta-merta kerana sudah bosan dengan kegagalan Umno memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat negeri itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Karim berkata beliau masih belum membuat keputusan terlibat dalam mana-mana parti politik sama ada melalui Usno 2006 atau parti-parti pembangkang seperti PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP).

"Tunggulah," kata bekas naib presiden Usno itu sambil ketawa kecil ketika ditanya sama ada beliau akan menerima lantikan daripada Usno 2006.

Sejak awal 90-an, terdapat pelbagai usaha menghidupkan semula Usno, termasuk melalui Usno Plus (1994), Usno Baru (2002), Usno 2006, Parti Usno Baru (2008) dan NGO seperti Mantan Ahli Usno (2007), Pertubuhan Bekas Ahli Usno (2008 dan Kelab Usno Sabah (2008).

Ditanya mengenai perkembangan tersebut, Karim berkata wujudnya pelabagi kumpulan itu melambangkan penolakan terhadap Umno Sabah yang 95 peratus daripadanya didakwa daripada bekas anggota Usno.

"Mereka tidak puas hati pada Umno. Walaupun tidak boleh daftar, semangat Usno tidak boleh mati. Ia adalah hati dan jantung mereka," kata bekas naib presiden Usno itu sambil menyeru semua yang terbabit bersatu.

Karim juga menjelaskan, beliau "meletup" semalam selepas memendam perasaan tidak puas hati lebih daripada 15 tahun.

Perkara itu, antaranya disebabkan soal pengagihan kekayaan dan sumber negeri dan permintaan kuasa autonomi kepada Sabah "seperti yang dijanjikan" tidak diberikan, kata Karim.

Ditanya tentang percakapannya yang bernada pembangkang, Karim sambil ketawa bertanya kembali: "Kalau tidak ke arah itu, kenapa saya keluar daripada Umno?"

Pada tahun 1990, Usno bergabung dengan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) untuk membawa Umno melebarkan sayap ke Sabah.

Tun Datu Mustapha Datu Harun menjadi pengerusi pertama Umno Sabah setelah Usno dibubarkan untuk bergabung dengan Umno pada tahun 1991.

16 ulasan:

linda berkata...

terpulanglah kepada Datuk Karim Ghani untuk menentukan halatuju politiknya selepas ini. UMNO masih lagi mendapat sokongan kuat dari rakyat. namun, UMNO juga perlu terus berusaha untuk terus mendapat sokongan dari rakyat.

tombolo berkata...

Datuk Karim Ghani keluar UMNO kerana ia ada hala tuju politik sendiri. UMNO harus teruskan perjuangan mereka.

Jonny berkata...

Usno masih tidak serik-serik lagi.

Jonny berkata...

Bagus juga Karim keluar, jika tidak lagi bersemangat berjuang, tiada kegunaan mengekalkannya.

evan medhousky berkata...

bagaimana Datuk Karim boleh bertahan 15 tahun dalam umno? atau mungkin disebabkan faktor2 ganjaran?

evan medhousky berkata...

usno tidak perlu diwujudkan dan Sabah tidak memerlukan banyak parti. apa guna banyak parti politik jika keadaan Sabah tetap sama, malah mungkin akan lebih teruk kerana terdedah dengan persaingan politik yang tidak sihat.

Nurul berkata...

Memang kita kacewa Karim Ghani yang bertindak keluar parti. Tapi itu adalah keputusa nbeliau, kita tidak boleh untuk menghalangnya.

amrul berkata...

Kita harapkan perkara keluar parti ini tidak berlaku berterusan. Ini ibarat parti itu tidak ada pendirian sendiri. Apa salahnya sekiranya Karim Ghani mengemukakan perasaan tidak puas hati kegagalan UMNO itu dan meminta UMNO menjalankan tugas yang betul dan bukan bertindak keluar parti.

adam berkata...

UMNO perlu meneruskan perjungan agar terus kekal relevan. fokuskan terhadap tanggungjawab kepada rakyat..

supra berkata...

isu keluar parti ini perkar biasa dalam politik, ia berlaku dalam mana2 parti.

Jari berkata...

Rehat-rehat dulu Datuk Karim. Baru konsentrasi semakin tajam.

Paquin berkata...

Alang-alang betul keluar parti... Kenapa tak keluar terus dari dunia politik.

Paquin berkata...

Tapi semuanya terpulang pada KG... Biarlah beliau sendiri yang putuskan apa yang terbaik utk dirinya.

Paquin berkata...

Ya kan Jonny. kalau dah takda semangat utk berjuang, lepaskanlah..
Tak guna dipujuk rayu kalau dah buat keputusan utk keluar parti. huhu

Paquin berkata...

Betul tu evan medhousky. Kalau nak keluar parti kenapa bukan dari dulu.. huhuhu
Hairan betul, kejap semangat bawa masuk, dah masuk dia pula yg keluar. alahai..

Paquin berkata...

Semoga tindakan keluar parti tak lagi berlaku. Mcm tak best lah kalau keluar masuk aprti ikut suka hati.. terasa mcm takda pendirian pula... tapi entah lah bah, lain orang lain pandangannya!!