KUALA LUMPUR — Pentadbiran Najib menegaskan ia telah mengambil tindakan tegas dan sewajarnya terhadap pegawai-pegawai kerajaan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman meskipun pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berpandangan sebaliknya.
Mempertahankan kelewatan kerajaan mengenakan hukuman ke atas dua pengetua sekolah masing-masing dari Kulaijaya, Johor dan Bukit Selambau, Kedah, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, masa diperlukan untuk menyiasat kedua-dua kes tersebut secara terperinci.
“Lebih baik lewat daripada tiada langsung, tetapi (masih) belum terlewat lagi,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Parlimen hari ini, Nazri mendakwa kedua-duanya adalah kes “pertama” dalam sejarah perkhidmatan awam di mana wujud dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah perkhidmatan awam di mana pegawai-pegawai kerajaan didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman,” kata Nazri.
Nazri berkata, dalam kes membabitkan pengetua dari Kulaijaya tindakan telah diambil dengan pegawai kanan itu sudah pun digantung perkhidmatan bermula 13 Oktober lalu.
“Satu surat tuduhan telah dihantar pada 8 Oktober. Dalam kes pengetua di Kulaijaya, surat diterima pada 13 Oktober.
“Dalam tempoh prosiding siasatan, kakitangan kerajaan terbabit telah dilarang daripada meneruskan perkhidmatannya,” kata beliau.
“Juga dalam kes pengetua Johor, terdapat ramai saksi (yang menghadiri) perhimpunan sekolah ketika insiden didakwa berlaku, justeru banyak keterangan perlu diambil,” kata beliau sambil menambah, ia memerlukan masa sebelum tindakan boleh diambil.
Nazri juga berkata Ketua Setiasuaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah mengeluarkan surat pekeliling kepada kesemua ketua jabatan pada 1 Oktober lalu mengingatkan pegawai-pegawai mereka agar mengelak daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
Soal mengenai tindakan yang diambil pihak berkuasa ke atas pegawai-pegawai terbabit terus menjadi fokus dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga membawa soalan berkaitan di Dewan Rakyat minggu lalu.
Ketika ditemui 12 Oktober lalu, Sidek tidak mahu mendedahkan bentuk tindakan disiplin dikenakan terhadap dua pengetua yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasis terhadap pelajar mereka dua bulan lalu.
Beliau bagaimanapun menegaskan, setiap tindakan disiplin yang diambil itu akan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Perkara ini kita kena ikut lunas-lunas tatacaranya.
“Ada prosedur yang kita perlu ikut dan saya akan pastikan ia diikut dengan sepenuhnya. Seperti yang saya kata tindakan itu mestilah ikut prosedur,” kata beliau.
Sehari sebelum itu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin menolak perbahasan terhadap usul yang dibawa DAP berhubung kenyataan rasis dibuat dua pengetua atas alasan tindakan sudah pun diambil ke atas mereka.
Bagaimanapun beliau tidak memberi butiran berhubung tindakan yang dikatakan sudah diambil ke atas kedua-dua pengetua berkenaan.
Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra Kulaijaya, Siti Aishah Mansor didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Dia didakwa menyebut pelajar Cina tidak diperlukan di negara ini dan boleh pulang ke China di samping menyamakan gelang keagamaan Hindu yang dipakai pelajar-pelajar India seperti rantai anjing adalah amat menjijikkan.
Di Kedah, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Selambau Ungku Aznan Ungku Ismail di Sungai Petani juga mencetuskan suasana tidak senang ekoran kenyataan berbaur perkauman.
Bagaimanapun pengetua berkenaan yang didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat rasis terhadap kira-kira 10 muridnya telah memohon maaf kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, Kementerian Pelajaran tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai perjawatan tetap kerajaan seperti pengetua sekolah dan menyerahkan kepada Ketua Setiausaha Negara.
Isu seumpama itu juga menjadi perhatian bulan lalu ekoran dakwaan kenyataan dikeluarkan oleh penolong pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan Hamim Husin.
Sidek berkata prosedur tindakan ke atas pegawai BTN itu sama sahaja dengan kes dua pengetua tersebut.
Nazri menjelaskan, kerajaan kini dalam proses akhir untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua guru berkenaan.
“Semua pihak harus faham ini adalah kali pertama seorang pegawai kerajaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman. Jadi makan masa sedikit (untuk siasat dan ambil tindakan),” kata beliau menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang ingin tahu mengapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap guru-guru terlibat.
Nazri berkata situasi ketika kejadian juga perlu diambil kira sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan, sama ada guru berkenaan benar-benar mempunyai niat menghasut atau berada dalam keadaan marah.
“Paling penting, mereka telah digantung tugas serta-merta bagi membolehkan siasatan dijalankan. Siasatan perlu mendalam sebelum mereka boleh disabitkan dengan pertuduhan.
“Kita tak mahu penyiasatan yang ‘flip-flop’ akhirnya menyebabkan keputusan yang dibuat tidak memuaskan hati,” katanya.
Bagi kes di Bukit Selambau, kata beliau, guru itu telah diberi amaran oleh Kementerian Pelajaran.
Beliau telah memohon maaf secara terbuka dan kini ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) tentang adakah kerajaan turut bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Namewee yang mengulangi perbuatan bersifat perkauman, Nazri berkata:
“Kita tetap akan ambil tindakan terhadap Namewee tapi mesti berdasar kepada fakta-fakta yang menyabitkannya. Dia bukan pegawai kerajaan jadi kita tak boleh ambil tindakan terhadapnya sebagai seorang pegawai kerajaan.
“Laporan polis telah dibuat dan kita sedang timbang beberapa undang-undang untuk mengambil tindakan terhadapnya,” katanya
0 ulasan:
Catat Ulasan