Selasa, 12 Oktober 2010

Kerajaan Negeri Lancar Kempen 10:10 Selangor

FREE MALAYSIA TODAY

eleli22 SHAH ALAM: Kerajaan Negeri melancarkan kempen kesedaran perubahan iklim “10:10 Selangor” semalam bertujuan untuk membawa isu perubahan iklim kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini bersempena dengan kempen antarabangsa 10-10.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan Elizabeth Wong berkata, Tunjang utama kempen “10:10 Selangor” ini ialah dengan menyenaraikan 10 langkah mudah yang boleh diambil oleh setiap individu untuk menangani perubahan iklim dunia.

"Antara langkah-langkah yang disyorkan adalah mengelak pembaziran makanan, air dan tenaga, menggunakan mentol lampu jimat tenaga serta menjimatkan tenaga penghawa dingin dengan menetapkan suhu pada paras 25 darjah Celsius," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Elizabeth Wong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar negeri berkata, objektif melancarkan kempen “10:10 Selangor” ini sebagai langkah permulaan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat Selangor tentang isu-isu perubahan iklim serta tindakan yang boleh diambil.

“Perubahan iklim sedunia merupakan cabaran yang terpenting untuk generasi kini,” katanya, menambah, “saya percaya semua rakyat Selangor bersedia untuk menghadapi cabaran ini, khususnya jika kita semua sedar akan hubungan di antara cara hidup kita dengan punca fenomena perubahan iklim.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kempen “10:10 Selangor” ini hanyalah merupakan langkah pertama.

Beliau berkata, “kesedaran mesti diikuti dengan tindakan, baik dari pihak kerajaan, swasta atau pun individu.”

“Sepuluh langkah yang disyorkan bukanlah memerlukan perubahan yang besar kepada cara hidup kita, tetapi ia dapat menjana kesan yang ketara jika kita semua berusaha bersama-sama.”

Orang ramai dijemput untuk membuat deklarasi awam bagi menyatakan sokongan terhadap 10 langkah yang disyorkan mengenai kempen “10:10 Selangor” ini dengan melayari www.selangor.gov.my/1010.

0 ulasan: