Isnin, 11 Oktober 2010

Kes Sosilawati: Hishamuddin Nafi Kredibiliti Polis Terjejas

Oleh Norasikin Samsi

Salah1KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mempertikaikan kelemahan pasukan polis dalam menjalankan siasatan berhubung pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya termasuk kelewatan jabatan kimia mengemukakan hasil laporan DNA juga tiga mangsa lain yang sehingga kini masih belum mendapat sebarang hasil.

Menurut Salahuddin, berdasarkan laporan siasatan polis, kertas pendakwaan telahpun dikemukakan kepada peguam negara bagaimanapun ia telah dikembalikan semula kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Kata beliau, arahan itu membuktikan berlakunya banyak lagi kekurangan dalam penyiasatan dan pendakwaan kes tersebut sekaligus mencerminkan imej negatif polis yang selama ini dilabel sebagai pihak profesional.

"Berdasarkan kepada laporan dan penyiasatan polis, kertas pendakwaan telahpun dikemukakan kepada peguam negara kemudian peguam negara telah menghantar balik kertas siasatan tersebut untuk tindakan selanjutnya oleh pihak polis.

"Ini menunjukkan berlakunya beberapa lagi kekurangan-kekurangan untuk proses pendakwaan. Kalau laporan profesional DNA oleh jabatan kimia (sepatutnya) mungkin paling cepat (diperolehi) dalam masa satu ataupun dua hari atau tiga hari. Tetapi kita lihat laporan DNA pun masih lagi tidak dikeluarkan.

"Jadi untuk kepentingan rakyat dalam negara kita, saya ingin tahu berapa lamakah lagi agaknya dari segi kerja ataupun sikap profesional yang polis akan menyiapkan kertas siasatan dan kes ini dapat didakwa ke muka pengadilan untuk dibuktikan siapakah yang bersalah," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam Sidang Parlimen penggal ke-13 di sini pagi tadi.

Menjawab persoalan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menegaskan bahawa pasukan siasatan sedang menjalankan tugas sepenuhnya tanpa henti untuk dibawa ke muka pengadilan.

"Dua agensi yang terlibat dalam siasatan ini, pertamanya pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia), pasukan siasatan dan juga pihak peguam negara.

"Kedua-dua pihak ini, hari ini 24 jam sedang siasat dan memastikan bahawa ianya dapat dibawa secepat mungkin, tak boleh saya laporkan ke dewan ini hari ini.

"Tetapi percayalah ianya tidak berkaitan dengan kes ini sahaja tetapi ada dalam perkara-perkara lain di dalam siasatan mereka yang telah menimbulkan syak wasangka yang memerlukan siasatan selanjutnya untuk kita memastikan bahawa semua yang terlibat dalam kes ini setakat mana yang kita mampu dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin," katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang dalam pertanyaaan lisannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan tarikh dan jenis laporan-laporan polis yang dibuat terhadap adik-beradik peguam yang disyaki terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai Datuk Sosilawati di Banting serta tindakan terkini terhadap laporan-laporan polis berkenaan.

Dalam pada itu beliau turut mempertikaikan profesionalisme PDRM yang didakwa beliau lebih mementingkan untuk menjaga imej sebaliknya mengenepikan kepentingan awam.

"Berhubung kes orang hilang dan pembunuhan beramai-ramai di Banting, kenapa laporan-laporan yang ada dibuat tidak dijalankan dengan mendalam yang boleh menimbulkan masalah profesionalisme polis dan mungkin menimbulkan masalah besar polis dan menjejaskan demokratik politik di mana tugas utama mereaka adalah untuk menjaga keselamatan rakayat dan bukan untuk menjaga kepentingan mereka yang berkuasa.

"Contohnya tindakan yang begitu cepat diambil ke atas yang berhormat Lembah Pantai (Nurul Izzah Anwar), YB Serdang (Teo Nie Ching), tangkap kartunis Zunar (Zulkiflee Anwar Ulhaque), semuanya tidak berasas tetapi nampaknya tiada tindakan polis mengenai kes-kes tersebut.

"Jadi adakah satu siasatan terbuka akan diambil supaya kepercayaan terhadap polis akan dipulihkan?" soal Kit Siang lagi.

Hishamuddin bagaimanapun menafikan imej polis telahpun terjejas tetapi menyatakan keyakinan beliau berhubung kredibiliti polis menjalankan siasatan kes berkenaan.

"Saya amat berkeyakinan bahawa pihak polis telah melaksanakan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab, cekap dan profesional dan tidak timbul isu keyakinan orang ramai terhadap polis akan terjejas," katanya.

0 ulasan: