Konsensus Bebas mengambil maklum akan keputusan Kementerian Pelajaran untuk Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) digantikan dengan penilaian berasaskan ujian oleh sekolah dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) digantikan dengan format dan bentuk baru.
Konsensus Bebas (gambar kanan) menyambut baik dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas beberapa perkara.
Pertama, sikap aktif dan responsif kerajaan dalam sentiasa mempertimbangkan dan mengambil langkah demi penambahbaikan mutu pelajaran anak-anak kita. Laungan dan desakan untuk sistem persekolahan dan pelajaran seluruh negara diperbaiki nampaknya menerima perhatian yang sewajarnya dari kerajaan. Penambahbaikan sistem pelajaran kita dan pembangunan insan adalah sesuatu yang wajib sekiranya Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang baru diumumkan akan mempunyai apa-apa makna kepada rakyat jelata semua lapisan.
Kedua, kesediaan kerajaan untuk mendengar dan memahami pandangan pihak-pihak berkepentingan (stakeholders) dalam isu ini wajar dipuji. Dalam kaitan ini, adalah diharapkan minit-minit perbincangan meja bulat (round table discussions) yang diadakan oleh Kementerian Pelajaran dapat disebarkan supaya masyarakat akan lebih memahami sebab dan rasional keputusan yang diambil.
Ketiga dan yang paling penting, sikap tidak tergopoh-gopoh dalam mengarahkan rombakan atau pertukaran kepada sistem pendidikan negara. Konsensus Bebas mengambil maklum bahawa pertukaran kepada PMR dan UPSR adalah efektif mulai 2016 dan kami simpulkan di sini kesilapan beberapa tahun dahulu dalam keghairahan dan tergesa-gesanya menukar bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik ke Bahasa Inggeris telah menjadi pengajaran kepada kerajaan.
Namun begitu, masih ada beberapa perkara yang Konsensus Bebas harap Kementerian Pelajaran akan terus berikan perhatian dan berusaha untuk memperbaiki atau menyelesaikannya.
Pertama, jurang kualiti antara sekolah luar bandar dan sekolah bandar mestilah dibasmikan. Umum sedia maklum bahawa lazimnya kualiti kumpulan pertama itu agak ketinggalan berbanding kumpulan kedua, tidak kira sekolah rendah atau menengah. Memandangkan bahawa UPSR akan memberi wajaran yang lebih kepada aktiviti ko-kurikulum dan PMR akan diselenggara oleh sekolah sendiri, adalah amat penting sekolah-sekolah luar bandar diberi peruntukan dan bantuan yang sewajarnya supaya mutu mereka dalam segala aktiviti akademik dan bukan akademik akan setanding dengan sekolah bandar. Sekiranya tidak, satu ketidakadilan yang akan mempunyai impak sosio-ekonomi dan politik yang amat besar dan ketara akan berlaku.
Kedua, rombakan kurikulum, sekolah rendah mahupun menengah, mestilah memasukkan kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif. Lebih dari keupayaan menghafal fakta-fakta demi peperiksaan, kemahiran berfikir inilah yang akan menjamin anak-anak kita mempunyai daya dan kebolehan untuk berjaya dalam apa-apa bidang yang mereka ceburi.
Ketiga, profesion perguruan mestilah diberi pengiktirafan, penghormatan dan prestij yang sewajarnya. Tangga gaji guru sektor awam mestilah dirombak untuk menarik yang terbaik dari segi kelulusan, kemahiran dan dorongan ke profesion perguruan dan mengurangkan beban kewangan guru-guru yang ada sekarang supaya mereka tidak terpaksa membanting tulang membuat kerja atau perniagaan sambilan. Begitu juga syarat kelayakan ke profesion tersebut perlu diperketatkan. Sekiranya hanya pelajar terbaik sahaja diterima untuk masuk ke jurusan perubatan atas sebab merawat dan mengubati seorang pesakit adalah satu amanah yang tinggi, begitu jugalah jurusan perguruan di mana membentuk minda anak-anak muda adalah satu amanah yang tinggi dan wajar diberi sanjungan oleh masyarakat dari segi ganjaran. Guru-guru juga mestilah diberi latihan yang mencukupi untuk melaksanakan perubahan-perubahan yang bakal berlaku menjelang 2016 nanti.
Konsensus Bebas berharap Kementerian Pelajaran tidak akan terlepas pandang isu-isu yang telah dinyatakan di atas, di dalam melaksanakan keputusan yang diumumkan berkaitan PMR dan UPSR.
*Kenyataan media oleh Konsensus Bebas, yang terdiri daripada Zahrain Mohamed Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru), Wee Choo Keong (Ahli Parlimen Wangsa Maju), Tan Tee Beng (Ahli Parlimen Nibong Tebal), Zulkifli bin Noordin (Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Ahli Parlimen Bagan Serai).

0 ulasan:
Catat Ulasan