KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Sidek Hassan hari ini enggan mendedahkan tindakan lanjut berhubung siasatan kes dua pengetua sekolah yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman yang dilaporkan sebelum ini.
Beliau sebaliknya berkata, setiap tindakan yang diambil akan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
"Setiap tindakan yang diambil perlu ikut lunas dan tatacara. Maka saya akan pastikan ia diikuti sepenuhnya," katanya yang ditemui selepas ucap tama muzakarah pakar di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini.
Semalam dilaporkan, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memaklumkan dalam Dewan bahawa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) telah memulakan tindakan tatatertib ke atas kedua-dua guru besar tersebut.
Siasatan itu merujuk kepada dua kes ‘pengetua rasis’ yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman di Johor dan Kedah.
Usul ditolak di Parlimen
Malah usul yang dibentang Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang ditolak oleh Pandikar sambil menyifatkan kes itu tidak perlu disegerakan.
Sebelum ini pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra Kulaijaya, Siti Aishah Mansor didakwa mengeluarkan kenyataan rasis.
Manakala di Sungai Petani turut berlaku perkara yang sama apabila pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Selambau Ungku Aznan Ungku Ismail melemparkan kenyataan bersifat perkauman sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, merujuk kepada satu lagi kes berbaur perkauman yang membabitkan Timbalan Pengarah Biro Tata Negara Hamim Husin, Sidek Hassan berkata tindakan sama diambil seperti kes dua pengetua rasis itu.
"Tindakan sama akan diambil iaitu ikut lunas dan peraturan sedia ada," katanya ringkas.
Pada 29 Oktober lalu, Kabinet telah mengarah Sidek Hassan untuk menyiasat seorang pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) yang didakwa telah menghamburkan kata-kata perkauman ke atas masyarakat Cina dan India di negara ini.
Hamim Husin didakwa menghina dan melebelkan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India sebagai ’si mata sepet’ dan ’si kaki botol’ pada sebuah majlis membabitkan Puteri Umno pada 27 September lalu.
Melalui sebuah portal berita The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan Hamim sebagai berkata adalah menjadi hak Melayu untuk memerintah negara dan menggesa mereka untuk bersatu mempertahankan hak mereka.

0 ulasan:
Catat Ulasan