KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah hari ini membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menuntut abu mayat seorang lelaki mualaf daripada keluarganya untuk dikebumikan mengikut cara Islam.
Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zin memerintahkan mayat Brian Eustace Steele @Steele Shah Abdullah, 58, dikebumikan dan diuruskan mengikut kehendak syarak selepas mengisyhtiharkan bahawa Steele adalah seorang Muslim apabila beliau memeluk Islam pada 20 Ogos 1975 berdasarkan rekod MAIWP.
"Mahkamah mengambil kira tiada apa-apa permohonan daripada si mati semasa hayatnya mahu keluar atau tinggalkan atau wujudnya sebarang dakwaan daripada mana-mana pihak beliau pernah meninggalkan agama Islam.
"Oleh itu, pihak yang menjaga abu mayat si mati hendaklah menyerahkannnya kepada pemohon (MAIWP) dan pihak polis hendaklah bekerjasama memastikan segala urusan pengebumian dijalankan dengan baik," katanya di sini hari ini.
Hakim membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan ex-parte MAIWP yang dikemukakan melalui peguam syarie Zulkifli Che Yong dan Ridhuan Hussin semalam selepas salah seorang sepupunya mengadu kepada MAIWP mengatakan mayat Steele diuruskan mengikut cara agamanya yang lama dan dibakar
Zulkifli dalam hujahnya berkata, pihaknya menuntut kesegeraan untuk mengururskan abu mayat Steele menurut hukum Syarak sebelum berlakunya sebarang kesulitan dengan keluarganya.
"Pihak kami tidak boleh mengebumikan mayat mengikut hukum syarak melainkan melalui perintah mahkamah.
"Abang kandung Steele sudah pun memperoleh permit pengebumian dan ini bermakna mereka ada hak untuk menguruskan abu mayat Steele.
"Malah semasa kami mahu menuntut mayat tersebut berlaku sedikit perselisihan faham antara keluarga Steele dan pihak kami sehingga memaksa campur tangan mengawal keadaan," katanya.
Steele yang berbangsa Eurasian meninggal dunia kelmarin akibat keracunan darah (septicaemic shock) dan mayat beliau kemudiannya diuruskan oleh keluarganya mengikut upacara Kristian di sebuah gereja di Petaling Jaya.
Upacara pembakaran mayat dilakukan di Jalan Kuari di sini semalam manakala abu mayatnya ketika ini disimpan di Bahagian Kawalan Pembersihan Bandar, Jabatan Seni Taman dan Kawalan Pembersihan Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

0 ulasan:
Catat Ulasan