Ahad, 10 Oktober 2010

Najib minta MCA bantu semua kaum, kikis komunalisme

TERKINI


Najib menegur parti-parti BN agar membantu rakyat tanpa mengira bangsa. — Gambar fail

KUALA LUMPUR — Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak memberikan nasihat jelas kepada pemimpin-pemimpin MCA hari ini agar jangan terlalu bersifat komunal dalam perjuangan, sebaliknya mengamalkan semangat “beri dan terima” dalam tuntutan-tuntutan mereka kepada kerajaan.

Dalam ucapan 48 minit merasmikan perhimpunan agung tahunan MCA di sini hari ini, Najib yang juga Perdana Menteri berkata pemimpin-pemimpin parti itu seharusnya berjuang demi kepentingan dan hak semua kaum, bukan setakat masyarakat Cina semata-mata.

“Berkhidmat untuk rakyat, bukan sahaja untuk masyarakat Cina tetapi bagi semua kaum.

“Jika anda melihat rakyat miskin Melayu atau India, pergi dan membantu mereka,” kata beliau.

“Saya menggalakkan Umno juga melakukan begitu. Ketika bulan Ramadan, saya memberikan bantuan kepada orang Cina dan India juga... apa salahnya?” kata beliau.

Najib yang juga Presiden Umno menyeru Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya memperlihatkan ketegasan dalam memimpin parti itu dengan memastikan pemimpin-pemimpin akar umbi setia dan komited kepada perjuangan BN.

“Dr Chua, anda perlu melakukan sedikit ‘ass-kicking’, sebagaimana orang Amerika kata. Gerakkan jentera (anda) ke peringkat daerah... mereka (kelihatan) sudah letih dan tidak bermotivasi,” kata beliau.

Sehubungan itu kata beliau, mereka perlu menunjukkan sikap setia dan komited, sekiranya tidak lebih baik meninggalkan parti.

“Kita tidak memerlukan mereka... bagi laluan kepada yang lain yang percaya pada perjuangan kita,” kata Najib lagi.

Pendirian Najib itu kelihatan merujuk kepada sesetengah pemimpin dalam Umno tidak senang dengan tuntutan berterusan parti kaum Cina itu menuntut agar dasar-dasar tindakan afirmatif yang tidak berasaskan keperluan atau merit dimansuhkan.

Dalam kongres ekonomi diadakan dua bulan lalu, pemimpin-pemimpin MCA meminta kerajaan menggantikan sasaran ekuiti 30 peratus Bumiputera.

Pandangan itu mencetuskan kontroversi daripada pemimpin-pemimpin Umno dan juga pertubuhan bukan kerajaan Melayu.

Hari ini, Najib mengkritik parti-parti yang hanya tahu mengemukakan tuntutan kepada kerajaan tanpa mengambil kira “perspektif kebangsaan ataupun kepentingan nasional”.

“Itu sebabnya apabila saya mengatakan MCA perlu menjadi suara masyarakat Cina, ia bukan hanya dalam konteks membuat tuntutan (semata-mata).

“Setiap orang boleh membuat tuntutan. Saya pergi ke (majlis) MCA, mereka buat tuntutan, saya pergi ke Gerakan, mereka tuntut. Saya pergi ke MIC, mereka buat tuntutan.

“Saya pergi ke Sabah dan Sarawak, mereka tuntut. Saya pergi ke (majlis) masyarakat Telegu, mereka juga menuntut. Setiap orang menuntut,” kata beliau.

Najib menambah, ia adalah proses normal di mana setiap pihak harus meletakkan perspektif kebangsaan, bukan sahaja setakat bagi masyarakat masing-masing tetapi juga perlu mengamalkan sikap “memberi dan menerima.”

“Itu yang menjadi Malaysia sesuatu yang istimewa, kita ada semangat memberi dan menerima demi kepentingan nasional.

“Anda mengambil kira tentang saya, saya mengambil kira tentang anda,” katanya lagi.

Najib juga mengakui bahawa beliau berhadapan dengan kesukaran apabila berusaha untuk menyertakan elemen-elemen inklusif dalam dasarnya.

Menteri Kewangan ini menambah beliau dihujani dengan persoalan daripada ahli-ahli Umno sama ada masyarakat Cina akan memberikan respons kepada perubahan yang dilakukannya.

“Saya juga Presiden umno. Pemimpin-pemimpin Umno memberitahu saya, lihat, anda mahu memberi (kepada masyarakat Cina) ini dan itu, apa yang anda lakukan? Adakah mereka akan respons?

“Saya memberitahu ya, mereka akan respons pada masanya... tetapi tolong... jangan tunggu terlalu lama,” katanya lagi.

Sehubungan itu, sambil menggambarkan rayuannya sebagai “Malaysia yang indah”, Najib menggesa MCA jangan mengambil masa yang lama untuk mengembalikan sokongan mereka kepada BN.

“Beritahu mereka jangan tunggu terlalu lama... jangan bertahan daripada untuk terus bersama dengan semangat BN.

“Masyarakat India lebih memperlihatkan perubahan. Orang Cina (mengambil sikap) bertahan.

“Beritahu mereka ini bukan soal masyarakat Cina sahaja, ini mengenai negara yang indah, mengenai keindahan Malaysia,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Najib juga memberi jaminan kepada MCA bahawa kesemua parti komponen BN khususnya Umno akan memberi ruang kepada mereka untuk membuat tuntutan masing-masing.

Perdana Menteri juga memberitahu pemimpin-pemimpin MCA bahawa beliau tidak bersetuju dengan istilah “pendatang” yang digunakan ke atas masyarakat Cina sambil berkata, “kesemua adalah warganegara yang setia kepada negara.”

“Ya, anda datang ke sini satu masa lalu, tetapi itu sudah tiga, empat, lima generasi. Sekarang anda adalah warganegara yang setia di negara ini,” kata beliau yang disambut gemuruh.

“Oleh itu, kami dalam BN termasuk Umno, pasti akan memberi ruang kepada MCA.

“Kami perlu memberikan ruang dan tempat kepada MCA kerana era anda boleh mengatakan saya berjuang untuk komuniti Cina sudah berlalu,” katanya.

0 ulasan: