KUALA LUMPURt — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat melihat ucapan terbaru Datuk Seri Najib Razak semalam menggambarkan Perdana Menteri sebenarnya tidak komited kepada konsep 1 Malaysia manakala parti pimpinannya pula masih bersandarkan pendekatan rasisme.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua (gambar) mendakwa Najib seolah-olah mengetepikan konsep 1 Malaysia berusia 18 bulan ketika berucap di hadapan 500 bekas kakitangan awam di Seri Perdana Putrajaya semalam.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini berkata, kenyataan Perdana Menteri itu juga menunjukkan pusingan 180 darjah berbanding pendirian agar diutamakan kesederhanaan, yang ditekankan oleh beliau sendiri pada perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bulan lalu.
“Najib bertanya soalan-soalan seperti ‘hulubalang’ Perkasa yang sebenar dan memperlihatkan belang sebenar sebagai Perdana Menteri, yang ‘Melayu terlebih dahulu’ berbanding ‘rakyat Malaysia terlebih dahulu’ sebagaimana digambarkan menerusi konsep 1 Malaysia dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP),” kata Pua dalam satu kenyataannya hari ini.
Pua berkata, pandangan Najib juga menunjukkan beliau tidak bersedia untuk bertindak tegas terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur rasis saban tahun termasuk pendirian bekas ketua Umno Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail, pengetua-pengetua sekolah, bekas pembantu khasnya Datuk Nasir Safar dan juga yang terbaru penolong pengarah Biro Tata Negara yang menggambarkan orang India sebagai “si botol.”
Dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan semalam, Najib dipetik Bernama berkata, Umno yang menerajui pemerintahan negara merupakan parti yang boleh menentukan kesejahteraan rakyat, keharmonian negara dan kejayaan negara Malaysia.
“Tidak ada orang lain yang boleh diharapkan untuk melaksanakannya,” kata beliau.
Najib yang juga Presiden Umno berkata, parti alternatif atau dengan jolokan “orang sebelah sana”, tidak boleh diharapkan.
“Saya nak tanya siapakah yang mempersoalkan 153 Peruntukan dalam Perlembagaan? Hak keistimewaan orang Melayu, siapa yang persoalkan? Siapa yang wujudkan peristiwa tidak mendoakan Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah? Siapa yang mahu buka UiTM (kepada bukan Melayu)? Bukan Umno tapi orang sebelah sana.”
Perdana Menteri menyatakan rasa hairannya mengapa masih ada pesara dan penjawat awam yang menyokong “orang sebelah sana” itu.
“Kena tengok sikit... tak betul ni. Mungkin sebab marah pada nyamuk seekor, kelambu dibakar. Ini tidak betul sepatutnya pegawai kerajaan lebih tahu berfikir dan rasional bahawasanya hanya Umno sahaja boleh menentukan survival kita.”
“Yang lain tak boleh... tak boleh. Lihat sahaja mesyuarat (pemilihan) mereka sekarang. Libang libu. Berlaku macam-macam. Benjol, terseliuh, patah tangan,” kata beliau.
Najib berkata, hakikatnya tidak ada gabungan dalam parti “orang sebelah sana” itu.
Kelab itu sudah mempunyai 300 orang ahli.
Malah Najib juga berkata pada masa sama, keseimbangan perlu ada dalam memerintah sesebuah negara.
“Takkanlah (kumpulan) majoriti dalam satu negara (memiliki) jumlah kekayaan yang kecil (dan) tidak seimbang dengan (kedudukannya sebagai) majoriti. Itu bukan asas kestabilan jangka panjang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Umno perlu terus dilihat sebagai sebuah parti yang mempunyai prinsip yang adil dan bertimbang rasa.
“Kita mesti berlaku adil... adil kepada orang Melayu dan adil kepada semua bangsa lain dalam negara kita, barulah kita akan wujudkan negara yang bersatu padu, kukuh dan berjaya,” katanya.
Najib berkata Umno sejak di bawah kepimpinan terdahulu sememangnya bukan sebuah parti yang ekstrem.
“Kalau kita ekstrem tidak mungkin kita dapat kemerdekaan. British tidak akan bagi kemerdekaan kalau dituntut oleh orang Melayu sahaja. British beri kerana kaum lain bersama dengan orang Melayu.
“Tetapi orang Melayu mesti merupakan peneraju kepimpinan dalam negara kita... kepimpinan negara kita kepimpinan Melayu dan Umno. Ia mengenai kepimpinan Melayu dan kepimpinan Melayu adalah adil kepada semua,” katanya.
Dalam reaksinya, Pua juga mendakwa Najib berbohong dalam ucapannya itu.
“Sebenarnya siapa yang Najib merujuk mempersoalkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan? Bagaimanapun, kami mempersoalkan siapa yang menyalahgunakan artikel-artikel Perlembagaan yang menyediakan hak istimewa kepada kroni politik, yang sudah pun kaya dan berpengaruh,” kata Pua.
“Dakwaan bahawa nama Yang di-Pertuan Agong digantikan oleh pihak lain dalam khutbah di masjid-masjid Pulau Pinang telah dijelaskan sebagai sebagai tidak benar sama sekali. Pembohongan Najib tidak beretika sama sekali dan dibuat dengan niat jahat,” kata beliau.
Pua juga mempertahankan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang pernah mengesyorkan agar tempat-tempat di UiTM ditawarkan kepada bukan Melayu untuk menggalakkan kepelbagaian, sebaliknya idea itu dilihat dalam konteks yang salah oleh Najib dan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.
“Sebaliknya, Najib terikat dengan taktik-taktik Perkasa yang mencetuskan sentimen perkauman menerusi retorik-retorik perkauman, membuktikan bahawa beliau juga seperti Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menganggap dirinya Melayu terlebih dahulu dan hanya sebagai rakyat Malaysia kemudian,” kata beliau.
Kata Pua, perkembangan itu juga menjelaskan sebab Najib keberatan untuk tidak mengkritik Perkasa yang terus-menerus mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman dalam perjuangan mereka.
Sehubungan itu, Pua juga menggesa Najib agar menghormati kebebasan politik setiap kakitangan awam.
Katanya, Najib dengan jelas tidak dapat membezakan antara kesetiaan kepada kerajaan berbanding kesetiaan kepada parti politik khusus.
“Sementara kakitangan awam perlu setia kepada kerajaan yang memerintah dan melaksanakan polisi-polisi dengan tekun dan secara profesional, kakitangan kerajaan juga harus dibenar membawa ideal dan pilihan politik mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub pula berkata, Najib tidak berupaya membawa Model Politik Baru ke dalam parti rasis seperti Umno.
“Najib mungkin ada iltizam politik sedemikian tetapi perjuangan rasis akar umbi Umno tidak mungkin menerimanya kalau pemilihan kali ini berlaku pertandingan,” kata beliau.
Menurut beliau, akar umbi Umno seakan lebih berminat dengan Muhyiddin sejak Najib memperkenalkan 1 Malaysia dan Model Baru Ekonomi yang dianggap tidak mengutamakan kepentingan akar umbi parti.
“Khabarnya akar umbi PKR nampak Muhyiddin lantang, Najib nampak liberal semata-mata mahu pemimpin MCA, Gerakan dan yang lain menyokongnya.
“Najib mungkin mahu partinya berubah dan jadi peneraju negara, tetapi Muhyiddin masih mengikut Mahathir (iaitu) mahu politik rasis dipertahankan di Malaysia,” beliau menambah.
Berbeza dengan PKR, kata beliau, dasar parti jelas menolak dasar rasis dan ekstrem serta mencerminkan parti massa itu mengamalkan politik baru.
Beliau yang juga Pengerusi PKR Perak berkata, politik baru yang diamalkan dalam partinya bersama-sama Pakatan Rakyat pada tsunami politik 8 Mac 2008 yang telah membawa kesejehteraan pada rakyat Perak.
Namun kata beliau, kudeta yang dilakukan Umno BN dengan membeli beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat Februari lalu menunjukkan parti-parti pemerintah masih mengamalkan politik lama.
“Kalau Najib amal politik baru, beliau tidak akan membiarkan kudeta berlaku di Perak.
“Politik baru tidak mengajar (mereka) culik wakil rakyat pembangkang, sogok mereka yang bermasalah supaya lompat part,” ujarnya.
Melihat semua itu, katanya, rakyat perlu diajak menyokong perubahan institusi.
“Rakyat perlu didedahkan tentang keburukan politik rasis dan kebaikan bersatu padu tanpa prejudis sesama kamu.
“Politik rasis mengajar rakyat bermusuhan, politik nilai mengajar rakyat berkasih sayang, menghormati antara satu sama lain serta mempertahankan konsep keadilan hak walaupun menguntungkan (pihak) lawan,” katanya yang bertanding jawatan timbalan presiden menggunakan platform ‘politik baru’.

0 ulasan:
Catat Ulasan